PENYATUAN parti Melayu yang diperkatakan perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad amat penting demi kesejahteraan bangsa dan negara.

Saya ada membaca kenyataan Dr Mahathir sebelum ini mempelawa semua parti termasuk Umno untuk sertai Bersatu bagi mengukuhkan Melayu.

Namun, ia tidak mungkin berlaku sekiranya Tun Mahathir berhajat mahukan pemimpin Umno keluar parti semata-mata untuk menyertai parti bongsu Pakatan Harapan itu.

Sekiranya, apa yang diperkatakan Tun Mahathir ikhlas untuk mengukuhkan kuasa Melayu, maka adalah lebih wajar satu kerjasama parti Melayu dilaksanakan.

Penyatuan parti-parti Melayu ini, saya pasti ia akan mengukuhkan kedudukan Melayu.

Sebagaimana penyatuan ummah PAS dan Umno dimeterai, sebegitu jugalah perkara yang boleh dibuat bersama parti-parti Melayu Islam yang lain.

Dan sekiranya Dr Mahathir benar-benar bimbang mengenai perpecahan Melayu, saya cadangkan bahawa Bersatu boleh kembali menyertai Umno.

Sebagaimana Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996 dan pemimpin-pemimpinnya kembali bersama Umno maka perkara yang sama boleh dibuat Bersatu.

Umum juga mengetahui kewujudan Bersatu adalah serpihan daripada parti keramat ini.

Dan kewujudan parti itu juga adalah antara punca kaum Melayu bertambah berpecah, menjadi keseluruhan sebanyak 6 parti.

Kini, saya yakin agenda Melayu Islam sentiasa terpahat di hati Umno dan PAS amat diterima baik rakyat. Maka, Bersatu boleh kembali ke pangkal jalan untuk kembali mengukuhkan perpaduan Melayu. – 6 Julai 2019.

DATUK JALALUDIN ALIAS,
Ahli Parlimen Jelebu,
Ahli Majlis Tertinggi UMNO,
Ketua UMNO Bahagian Jelebu.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.