TERESA KOK, Menteri Industri Utama seringkali ‘memeriahkan’ ruang media sosial dengan telatah demonstrasi pelbagai produk di Parlimen.

Sebelum ini demonstrasi meminum sawit, kini memperkenalkan produk ubat gigi, sabun dan koko pula.

Itu tidak termasuk mengeluarkan kenyataan tak masuk akal seperti menoreh musim hujan, menukar ke tanaman buluh, menanam getah dan sawit di sekolah, dan sebagainya.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan MCA, Ling Tiang Soon juga secara lantang membidas Teresa dan menyifatkan pemimpin DAP itu terlalu banyak retorik tanpa menyelesaikan permasalahan komoditi.

” Mengikut laporan, disebabkan pengeluaran yang melebihi jangkaan, ditambah dengan eksport yang berkurangan, harga antarabangsa minyak sawit mentah (MSM) telah jatuh ke paras terendah dalam 7 tahun pada RM1,947 per tan, bermakna peladang kecil bakal menerima pulangan buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah dari bulan lepas, yang mencatatkan RM285 hingga RM295 per tan.

Harga rendah sebegini telah menghantui lebih 650,000 peladang kecil sawit seluruh negara melebihi setahun, ini membayangkan masa depan yang malap bagi industri berkenaan…” ujar Ling Tiang Soon..

Tiang Soon juga menegaskan pengeluaran produk sawit bulan Jun, telah merosot 19.9% ke 1,343,428 tan berbanding 1,677,639 tan pada bulan sebelumnya.

Syarikat pemeriksaan bebas, AmSpec Agri Malaysia pula melaporkan eksport dalam tempoh sama juga susut 19.6%.

Statistik ini amat membimbangkan dan Kementerian Industri Utama tidak boleh terus memandang remeh masalah ini sebaliknya kembali ke pangkal jalan secara lebih pragmatik, iaitu membantu mengatasi masalah yang mendepani para pengusaha sawit.

MCA juga turut mencadangkan empat langkah penting menangani permasalahan komoditi yang gagal ditangani Teresa. Antaranya ialah :

1)Berhenti mengimport MSM dari Indonesia untuk diproses dan pastikan kesemua minyak sawit untuk eksport adalah produk tempatan.

2)Segera melaksanakan skim galakan dan insentif penanaman semula, yang pernah dilakukan kerajaan terdahulu pada RM7,500 sehektar. Sayangnya kerajaan baharu telah menghentikan skim ini.

3)Menyediakan kemudahan baja subsidi kepada peladang-peladang kecil, bagi menurunkan kos pengeluaran mereka.

4)Menyediakan skim pembiayaan mudah, bagi membantu peladang-peladang sawit yang sebelum ini membeli lading sawit dengan pembiayaan bank.

Peladang-peladang telah menunggu sekian lama, namun setiap kali kerajaan hanya mampu berjanji serta memberikan kata-kata semangat, tidak lebih dari itu. Ini begitu mengecewakan.

Pegawai-pegawai malah menteri berkenaan sepatutnya tidak lagi memikirkan penyelesaian yang tidak praktikal dari dalam bilik berhawa dingin mereka, sebaliknya dekatilah hidup peladang-peladang, bagi memahami serta mengatasi masalah mereka. – NTHQiBord, 6 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.