CADANGAN Tun Dr Mahathir supaya Melayu kembali bersatu memang sangat dialu-alukan.

Ada pihak bersetuju dan ada yang tidak. Ada pula yang bersetuju separuh sahaja daripada idea tersebut.

Sementara itu, penganalisis politik Raja Petra Kamarudin melihatnya dari sudut berbeza, katanya dalam Twitter.

Bagi beliau ini adalah amaran pertama bahawa ada kemungkinan UMNO diharamkan kerana kaitannya dengan kes 1MDB.

Mahathir bimbang, ahli UMNO akan menubuhkan parti baharu.

Jadi adalah lebih baik jika awal-awal lagi Mahathir membuat tawaran.

Sementara itu Presiden MCA, Wee Ka Siong misalnya melihat cadangan Mahathir itu lebih kepada usaha mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Semua sedia maklum, Bersatu hanya ada 13 kerusi Parlimen selepas PRU14.

Jumlah itu menjadikan Bersatu parti minoriti dalam kerajaan DAP-PH.

Bagi Wee, bukanlah memeranjatkan jika Mahathir mempelawa ahli UMNO menyertai pasti itu bagi memastikan Bersatu menjadi parti majoriti dalam Pakatan Harapan.

Jika berjaya, Mahathir mempunyai lebih kuasa untuk bertindak.

Wee turut mengimbau, sebelum PRU14, bahawa Lim Kit Siang, Guan Eng dan Mat Sabu pernah berkata Mahathir tidak boleh berbuat sesuka hatinya walaupun dilantik menjadi PM.

Jadi, bagi mana-mana ahli politik tawar-menawar adalah suatu strategi. Lebih banyak kerusi dimiliki bermakna anda ada lebih hak.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula dengan tegas menolak pelawaan Mahathir itu.

“Dalam banyak kenyataan sebelum ini, UMNO berpendirian Bersatu bukan suara sebenar orang Melayu. Ia hanyalah rakan kongsi DAP yang tidak serius dengan agenda Melayu.”

“Jadi, atas dasar prinsip, kami tidak mahu menjilat kembali ludah sendiri dengan menerima Bersatu,” kata Khalid dalam Facebook.

Bagi Khalid, UMNO akan kekal menjadi UMNO. Dengan prinsip dan aspirasi yang jelas, parti ini akan terus berikhtiar mengubah diri dan menjadi lebih baik.

Dengan cara dan jalan sendiri demi orang Melayu, Islam dan Malaysia yang lebih maju.

Malah, menurut Khalid lagi inilah yang UMNO dan PAS sedang lakukan sehingga membawa kepada penerimaan dan sokongan besar orang Melayu di seluruh negara. – 7 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.