SETIAUSAHA Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa masih tidak sedar diri.

Itulah ungkapan yang boleh diberikan kepada pimpinan UMNO seperti Annuar Musa. Mana tidaknya, hari ini mereka masih lagi beranggapan yang mereka kuat dan mampu menewaskan Kerajaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Mereka masih terus bermegah-megah dengan menyatakan mereka mempunyai keahlian terbesar daripada parti-parti lain di seluruh negara – modus operandi, rompak, rasuah dan agihkan untuk membeli sokongan, kuasa politik, terus dengan budaya ini?

Hakikatnya, dalam PRU ke-14 lalu UMNO tewas dengan pendatang yang dianggap sebagai ‘parti setahun jagung’, Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu.

Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini menyeru agar orang Melayu beragama Islam menyertai parti Bersatu, ia adalah supaya orang Melayu lebih kukuh untuk terus berjuang demi masa depan yang lebih cerah.

Saya beranggapan mereka ini antaranya pemimpin UMNO seperti Annuar dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sombong, tidak sedar diri, tidak berpijak di bumi nyata yang menolak saranan Dr. Mahathir dan sebaliknya membalas seruan Dr. Mahathir agar “Bersatu perlu menyertai UMNO semula”.

Parti Melayu setahun jagung ini mahu memimpin Melayu ke arah masa depan yang lebih cerah dengan nilai-nilai beramanah, berintegriti, lebih berani, berdaya saing tanpa amalan rasuah dan mempraktikkan amalan agama Islam yang benar.

Cubalah berfikiran positif dan berpandangan rasional di dalam memberi pandangan.

Kesombongan pemimpin UMNO ini masih menebal di dalam hati mereka. Mereka lupa mengapa syaitan/iblis dihalau daripada Syurga Allah SWT. Kerana sifat sombonglah. Kerana sifat itu jugalah UMNO tumbang.

Kami dalam Bersatu akan terus mempertahankan kedudukan agama, bangsa dan tanah air. – 7 Julai 2019

DATUK SERI MOHD REDZUAN YUSOF
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.