TAN Sri Muhyidin Yassin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), menafikan sekerasnya menandatangani dokumen akuan bersumpah (SD) menyokong peralihan kuasa Perdana Menteri.

Jelasnya, dakwaan beliau menandatangai dokumen SD menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan Mahathir adalah tidak benar.

Muhyidin menolak sekerasnya dakwaan yang viral di media sosial dan menyatakan dokumen yang disebarkan itu adalah palsu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya menandatangani SD mengenai peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang viral di media sosial hari ini”.

“Dokumen itu adalah palsu,” katanya.

“Dakwaan itu boleh mencemarkan nama baik dan memohon agar pihak polis menyiasat perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Bukan itu sahaja, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut didakwa terlibat dalam menandatangani dokumen yang sama yang memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk menjadi PM ke-8.

Namun, Zahid juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah menandatangani sebarang SD dan ini merupakan fitnah yang dilakukan terhadapnya.

Zahid menyifatkan tuduhan yang dilemparkan itu adalah daripada mereka yang terdesak dan ingin merosakkan namanya sebagai Presiden UMNO.

Alasannya, ia adalah penyebaran daripada orang yang tidak bertanggungjawab dan ingin menjatuhkan beliau.

“Merujuk surat akuan sumpah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang tersebar luas ketika ini, dengan tegas saya menafikannya. Saya tidak menandatangani surat berkenaan”.

“Ini adalah fitnah jahat yang dilakukan oleh mereka yang terdesak dan tidak bertanggungjawab bagi merosakkan diri saya selaku Presiden UMNO”.

“Saya ingin nyatakan semua keputusan besar dan pendirian UMNO akan dibuat secara berpasukan. Bukan oleh saya secara individu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Kedua-dua pemimpin berkenaan menafikan dan menegaskan bahawa mereka tidak terlibat tetapi sejauh manakah kebenaran kenyataan mereka.– NTHQiBord, 8 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.