SEKURANG-kurangnya lapan anggota keselamatan dan enam orang awam terbunuh dalam serangan bom kereta di Afghanistan tengah.

Serangan itu turut mencederakan hampir 200 orang, termasuk berpuluh-puluh kanak-kanak di sebuah sekolah berdekatan.

Serangan di wilayah Ghazni pada Ahad (waktu tempatan) berlaku ketika persidangan damai puak-puak di Afghanistan, termasuk Taliban, yang diadakan di Qatar.

Persidangan ini diadakan dalam usaha untuk mengakhiri keganasan dan membina kepercayaan antara warga awam Afghanistan dan kumpulan bersenjata.

Pegawai Afghanistan berkata bom itu menyasarkan unit perisikan utama negara, National Directorate of Security (NDS).

Pegawai kesihatan di Ghazni berkata 13 orang dewasa, termasuk lapan ahli NDS, dan seorang kanak-kanak dibunuh.

Sekurang-kurangnya 60 kanak-kanak yang menghadiri kelas di sebuah sekolah swasta berhampiran tapak letupan itu adalah antara 180 orang yang cedera.

“Angka korban mungkin meningkat kerana ini bukan laporan terakhir mereka yang cedera dalam letupan kuat,” kata Zaher Shah Nekmal, seorang pengarah kesihatan di wilayah Ghazni.

Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

“Puluhan pegawai NDS terbunuh atau cedera,” kata jurucakap kumpulan, Zabihullah Mujahid dalam satu kenyataan.

Ledakan di kawasan Ghazni yang penuh sesak adalah yang terbaharu dalam gelombang serangan harian oleh Taliban yang kini menguasai lebih separuh Afghanistan.

Sementara itu kumpulan “Save the Children” mengutuk serangan itu.

“Hal ini tidak dapat diterima dan kami mendesak semua kumpulan bersenjata di Afghanistan memikirkan tentang generasi akan datang.”

“Hentikan pembunuhan dan penyamun anak-anak yang tidak bersalah,” kata pengarahnya, Onno van Manen dalam satu kenyataan.

“Kanak-kanak tidak meminta perang ini, mereka tidak sepatutnya membayar harga mahal untuk itu.

Dalam perkembangan lain, Taliban, yang berulang kali enggan berunding dengan Presiden Ashraf Ghani yang disokong oleh Barat, bersetuju untuk menyertai sidang kemuncak intra-Afghan di Doha, Qatar dengan syarat mereka yang akan hadir dalam kapasiti peribadi.

Seramai 60 tokoh dan aktivis Afghanistan yang berprofil tinggi berada di Doha untuk bertemu dengan wakil Taliban semasa persidangan dua hari itu.

Pertemuan ini diatur oleh pegawai Jerman dan Qatar dengan sokongan perunding AS.

Antara perbincangan dalam rundingan termasuklah empat bahagian perjanjian damai: jaminan balas pengganas, penarikan tentera, penyertaan dalam rundingan intra-Afghan, dan gencatan senjata yang menyeluruh dan komprehensif.

Konflik ketenteraan dan serangan terhadap orang awam semakin meningkat walaupun rundingan sedang berlangsung.

Sehinggakan ada yang mempertikai kepentingan mengadakan perundingan damai dengan Taliban.

Minggu lalu letupan bom di luar kementerian pertahanan di Kabul, menyebabkan 16 orang terbunuh dan lebih daripada 100 orang awam, termasuk 51 kanak-kanak, cedera dalam serangan itu. – 8 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.