MANA-mana pemimpin UMNO yang korup diminta terus berehat atau melepaskan jawatan masing-masing secara sukarela.

Tindakan ini diibaratkan memberi UMNO “nyawa kembali” untuk terus diberi kepercayaan oleh rakyat.

Hal ini penting kerana pada saat ini akar umbi UMNO sedang sibuk menyusun mesyuarat bahagian masing-masing dan mahukan perubahan besar-besaran demi menarik kembali sokongan orang Melayu.

Gesaan itu dibuat oleh Hamdan Mohd Salleh, Ketua Setiausaha, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dalam suatu kenyataan media.

Rakyat kini jelas telah memberi mesej untuk menolak pemimpin korup, tetapi dilihat masih ada pemimpin yang korup yang masih mahu bersama UMNO.

Jika ini masih berlaku ia akan dilihat tidak ada pembaharuan dalam parti terbesar orang Melayu itu.

UMNO telah 73 tahun menjadi parti orang Melayu, rakyat kini sudah jemu laungan oleh pemimpin korup yang dilihat hanya mempunyai kepentingan dan mengekalkan jawatan masing-masing dengan tujuan peribadi.

Bagi Hamdan, rakyat sudah jemu dan menyampah, UMNO ini harus dibersihkan dan menolak pemimpin yang terlibat dengan rasuah.

Akar umbi khuatir kapal UMNO akan tenggelam sepenuhnya jika gejala ini tidak dibendung.

“Jangan sekadar syok sendiri dan memasang angan-angan kembali berkuasa, ini hakikat yang perlu diterima kepada pemimpin yang terlibat dengan korupsi.”

“Tanya kepada diri sendiri (figura yang korup) adakah jujur dan ikhlas dalam perjuangan Melayu atau perjuangan mengepung harta untuk selamatkan kuasa dan jawatan,” kata Hamdan lagi.

Ramai lagi pemimpin Melayu yang tidak korup dan harus diberi peluang dan ruang seluas-luasnya untuk duduk di dalam pimpinan tertinggi.

Biarkan muka-muka baru ini naik memimpin UMNO.

Gelombang kebangkitan rakyat kini sudah dirasai dan masa depan orang Melayu bukan bergantung semata-mata kepada keahliannya yang ramai, juga pemimpin yang dipilih.

Maka usah digadaikan dengan meletakkan semula ‘figura korup’ yang kelak membantutkan perubahan UMNO.

Walaupun pahit, namun terpaksa ditelan, buangkan sifat hipokrit dan memikirkan suara rakyat yang sebenarnya.

Baik yang dituduh dan yang dihadap ke mahkamah, kesemuanya dilihat  korup di mata rakyat, apatah lagi kini mempunyai mimpi yang amat besar untuk kembali ke UMNO.

Menurut Hamdan, sudah tiba masanya UMNO mempunyai jiwa besar, terus bangun dan bangkit serta mengambil kira suara rakyat yang menolak pemimpin korup yang masih di dalam UMNO.

Antara pemimpin UMNO yang kini berhadapan dengan kes mahkamah termasuklah Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib telah meletakkan semua jawatan dalam parti. – 8 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.