SOALAN:

Assalamualaikum Sahibus Samahah Datuk Mufti, apakah hukum seseorang melaksanakan ibadah haji dengan menggunakan duit haram?

Jawapan:

Waalaikumussalam. Dalam menjawab persoalan ini, suka untuk kami ulaskan berkenaan pengertian harta yang haram terlebih dahulu dan kemudian kami sertakan sekali beberapa pendapat para fuqaha berkenaan hukum isu ini.

Definisi Harta Haram

Imam al-Ghazali Rahimahullah mendefinisikan harta yang haram dengan katanya: Sesuatu yang diperolehi dengan cara yang haram seperti riba, rasuah, judi, dan ihtikar (monopoli).

Dr. Muhammad Nu’aim Yasin pula mentakrifkan harta haram sebagai: Setiap harta yang diharamkan syarak ke atas orang yang mendapatkannya untuk mengambil manfaat darinya dari setiap sudut. Lihat Zakat Al-Mal Al-Muharram, Dr. Nuaim Yasin (Hlm. 1).

Contoh-Contoh Harta Yang Haram

Berikut merupakan beberapa contoh harta-harta yang haram. Di antaranya:

i.Harta yang dicuri atau dirampas.
ii.Harta yang diperoleh hasil dari riba.
iii.Harta yang diperoleh dari penjualan arak, dadah, dan perkara haram yang lain.
iv.Harta yang didapati dari perbuatan rasuah.

Pendapat Para Fuqaha Berkenaan Isu Laksanakan Haji Dengan Harta Yang Haram

Berikut merupakan beberapa pendapat para fuqaha berkenaan hukum menunaikan haji menggunakan harta yang haram. Di antaranya:

Pertama: Mazhab Jumhur (Majoriti) Fuqaha

Yang kami maksudkan dengan jumhur di sini adalah tiga mazhab terbesar iaitu mazhab Imam Abu Hanifah, mazhab Imam Malik, serta mazhab Imam Al-Syafie. Berikut merupakan kenyataan tokoh besar dalam mazhab Al-Syafie berkenaan isu ini. Kata Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Apabila seseorang melakukan haji dengan harta yang haram atau dia menunggang haiwan tunggangan yang dirampas maka dia mendapat dosa dan hajinya sah di sisi kami. Inilah pendapat yang dipegang oleh Abu Hanifah, Malik, al-Abdari dan majoriti fuqaha. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (7/62).

Hujah Imam Al-Nawawi adalah, haji merupakan perbuatan-perbuatan yang khusus (rukun dan syarat) dan pengharaman adalah disebabkan perkara yang luar darinya.

Kedua: Mazhab Hanbali

Pengasas mazhab ini iaitu Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah mengatakan: Haji seperti ini tidak sah, berdasarkan hadis:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu thayyib (baik) dan Dia tidak menerima melainkan yang baik sahaja.

Riwayat Muslim (1015)

Kesimpulan

Kami lebih cenderung berpegang dengan pendapat jumhur para fuqaha yang mengatakan bahawa seseorang yang pergi haji menggunakan wang haram maka hukumnya adalah berdosa dan hajinya dikira sah. Ini kerana, urusan berkaitan haji terpisah dari larangan menggunakan wang haram juga kami berpendapat sama seperti hujah-hujah yang telah dinyatakan oleh jumhur.

Sekalipun jihah munfakkah di sisi mazhab Imam al-Syafie dikira berasingan, akan tetapi keperluan untuk penerimaan haji itu adalah matlamat utama. Justeru, pastikan sumber yang kita bawa dalam perlaksanaan haji biarlah halal 100 peratus tanpa sebarang syak dan ragu-ragu. Inilah yang telah diamalkan oleh para salafussoleh dan orang-orang soleh yang datang terkemudian. Semoga Allah menerima haji kita sebagai haji yang mabrur. – 9
Julai 2019

S.S DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Mufti Wilayah Persekutuan

*Lihat Jawapan Penuh

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.