SEMALAM, Tun Mahathir Mohamad berkata sudah cukup empat parti Melayu buat masa ini dan tiada keperluan untuk tubuh parti baharu.

Alasannya, empat parti itu sudah cukup untuk menjadi tempat orang Melayu mengadu masalah yang berbangkit.

Mengulas lanjut perkara itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebenarnya orang Melayu hanya perlukan dua parti saja iaitu UMNO dan PAS.

“Pada masa ini, dua parti dah cukup iaitu UMNO dan PAS. Tapi nak tambah (gabung) lagi boleh, masuk BN (Barisan Nasional) lah.

“Takkan BN nak masuk Bersatu yang cawangannya pun tiada, mesyuarat bahagian pun belum dan ada juga yang sudah bubar,” katanya kepada NTHQiBord, semalam.

Tajuddin juga membandingkan sokongan terhadap UMNO yang semakin meningkat sejak kerjasama dengan PAS.

“Mesyuarat perwakilan kita pun dah dihadiri ramai ahli sejak kerjasama ini berlangsung,” katanya.

Sebagai rekod, Bersatu Negeri Sembilan dibubarkan pada September tahun lalu kerana menimbulkan pelbagai masalah dan melanggar perlembagaan parti.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat pimpinan tertinggi parti berkenaan dan semua bahagian dan cawangan di negeri berkenaan termasuk sayap Pemuda Armada dan Srikandi. – NTHQiBord, 8 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.