MAHKAMAH Majistret menetapkan 8 Ogos depan bagi tarikh pengurusan kes yang membabitkan Ahmad Saiful Islam, anak kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Ahmad Saiful, 32 didakwa atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), di tandas pusat hiburan Hotel W, Jalan Ampang pada jam 2.05 pagi, 5 Januari 2019.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Joseindra Abu Senin memaklumkan pihaknya menyerahkan beberapa dokumen kepada pihak pembelaan.

Mohd Joseindra berkata, dokumen itu diserahkan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan.

Pada 13 Jun lalu, Ahmad Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Ahmad Saiful diwakili peguam Nasa Khan.

Anak Mat Sabu bukanlah satu-satunya anak pemimpin Parti Amanah Negara yang dikaitkan dengan kes dadah.

Sebelum ini anak Husam Musa, Naib Presiden Amanah juga pernah ditahan kerana terlibat dalam kes dadah.

Ahmad Syafi Husam, 29, ditangkap di Jalan Pasir Mas-Salor, Kampung Jelutong, Kota Bharu, Kelantan pada November 2017.

Ahmad Syafi ditahan polis kerana dipercayai memiliki 200 biji pil kuda seberat kira-kira 20 gram.

Anak Husam itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan.

Namun, pemimpin Amanah ini bernasib baik kerana parti lamanya PAS tidak mengambil kesempatan menyerang mereka dalam isu ini.

Hal ini kerana PAS berpendapat, isu dadah ini boleh berlaku kepada mana-mana individu maka tidak wajar dipolemikkan. – 9 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.