ANTARA agenda DAP ketika ini ialah mendesak perubahan kuota kemasukan ke matrikulasi dan pengiktirafan sijil UEC.

Bagi isu matrikulasi, Pada 24 April 2019 Kabinet memutuskan untuk mengekalkan kuota 90 peratus Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera bagi program matrikulasi.

Tetapi pada masa yang sama kerajaan menambah bilangan kemasukan pelajar kepada 40 ribu tempat berbanding 25 ribu sebelum ini

Namun Ahli Parlimen Bukit Bintang dari DAP, Fong Kui Lun, tidak berpuas hati dengan penambahan bilangan kemasukan pelajar ini, demikian komen Dr Kamarul Yusoff dalam Facebook beliau.

Fong meminta Menteri Pendidikan menyatakan usaha untuk menyamaratakan penyertaan antara kaum bagi program ini.

Bagi UEC pula, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, mengumumkan pada 21 Mac lalu bahawa Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) diberi masa untuk mengkaji isu pengiktirafan UEC dari bulan Oktober 2018 hingga Julai 2019.

Tambah Dr Maszlee, selepas Julai 2019 satu laporan akan dibuat oleh PPDUEC dan dihantar kepada beliau seterusnya beliau akan membawa laporan tersebut kepada jemaah menteri untuk dibuat satu keputusan mengenai isu pengiktirafan UEC ini.

Belum pun habis Julai 2019, sudah Ahli Parlimen Rasah dari DAP, Cha Kee Chin, tidak mampu bersabar dengan janji ini hingga hari ini meminta Menteri Pendidikan menyatakan apakah status terkini kajian yang telah dilakukan oleh PPDUEC.

“Macam manalah persepsi DAP adalah pejuang semua bangsa boleh diterima?” soal Kamarul.

Beberapa hari yang lalu, Gapena menyifatkan penglibatan wakil Dong Zong sebagai ahli dalam jawatankuasa PPDUEC adalah tidak adil.

Ketua Satunya, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, penglibatan Dong Zong itu akan menjejaskan integriti pengumpulan data berkaitan UEC.

Gapena tetap dengan pendirian untuk menolak pengiktirafan UEC kerana menyifatkan ia bercanggah dengan sistem pendidikan kebangsaan sekali gus menolak perpaduan di negara ini.

Pasukan petugas dasar UEC dipengerusikan Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (Pusaka), Eddin Khoo Bu Eng serta dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Timbalan Presiden Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing. – 9 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.