PENGELUARAN kereta nasional akan menjadi platform melatih ramai tenaga mahir dalam bidang automotif, kata Tun Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri itu berkata, industri automotif adalah antara industri yang boleh ada banyak tenaga mahir selain bertujuan mengembangkan industri pembuatan di negara ini.

Katanya, sebuah kereta mempunyai 4,000 komponen yang kaedah pengeluaran dan pemasangannya perlu dipelajari.

“Sekarang kita tahu buat kereta dan bila kita tahu merekabentuk dan keluarkan kereta, kita juga belajar tentang kejuruteraan.

“Banyak langkah kita sudah belajar kerana satu industri sahaja,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pemain industri automotif perlu sentiasa meningkatkan keupayaan mereka supaya seiring dengan kecanggihan teknologi pengeluaran kenderaan masa kini.

Berbeza dengan pengeluaran kereta pertama negara Proton Saga, beliau berkata pengeluaran kenderaan hari ini jauh lebih kompleks dengan melibatkan pemasangan sehingga 200 mikrocip komputer bagi membolehkan kereta dipandu dengan lebih mudah.

“Sekarang kita bukan sahaja pasang kereta tetapi kita oversee enjin atau robot yang pasang kereta, jadi bagaimana kita menyelia mesin ini juga menjadi satu kemahiran yang diperlukan untuk keluarkan kereta pada zaman ini.

“Sekarang kereta boleh jalan sendiri dan kita boleh bercakap dengan kereta suruh dia pergi sana sini. Proton Saga pertama tak boleh tetapi kalau beli Proton X70 kita boleh bercakap dengan kereta, kalau duduk seorang, orang kata gila,” katanya. – 9 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.