MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menolak rayuan Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu, lapor Sinar Harian.

Malahan, Hakim, Datuk Abdul Halim Aman turut meminda hukuman daripada Sembilan bulan kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan.

“Setelah menimbang faktor mitigasi dan keseriusan kes, mahkamah dengan ini meminda hukuman sembilan bulan yang dijatuhi oleh hakim mahkamah sesyen kepada penjara bagi tempoh satu tahun dan hukuman itu berkuat kuasa hari ini,” katanya.

Dalam ringkasan penghakimannya, Abdul Halim berkata, penerbitan kata-kata itu (kata-kata menghasut) adalah satu penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Menurut Abdul Halim lagi walaupun sebagai warganegara yang diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan ia masih tertakluk kepada undang-undang dan normal kehidupan.

Sementara itu, Wan Ji, 37, menerusi peguamnya, Mohd Radzlan Jalaludin memohon penangguhan perlaksanaan hukuman atas alasan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun Hakim memerintah peguam memfailkan permohonan penangguhan tersebut secara rasmi.

Pada 9 April 2018, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Pada 10 September 2014, Wan Ji mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebook wanji.attaaduddi.

Wan Ji pernah menganggotai beberapa parti politik seperti PAS dan kemudian PKR. Dia juga pernah menjawat jawatan dalam kerajaan DAP Pulau Pinang. – 9 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.