Hidup ini ibarat roda, ada masanya kita di atas. Masa yang lain kita di bawah.

Ketika kita berada dalam kekuasaan maka kita menjadi manusia kebal walaupun telah melakukan kesalahan atau cenderung kepada melakukan kesalahan.

Itulah ibarat politik di Malaysia hari ini khasnya, dan dunia amnnya.

Lihat sahaja perjalanan hidup Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau telah di hukum oleh mahkamah ketika tidak berkuasa, dan apabila berkuasa semula segala kesalahannya mendapat pengampunan manusia iaitu DYMM YDPA, maka bebas sebebasnya dia.

Akhirnya kerajaan terpaksa membayar semua gaji dari tahun 1998 kepada beliau kerana salah membuat keputusan sebelum ini.

Kebarangkalian pencen sebagai Timbalan Perdana Menteri juga akan dibayar oleh kerajaan.

Tun Dr Mahatir pula bebas melakukan apa-apa saja dalam kehidupannya kerana dia berkuasa termasuk mengkayakan anak pinak beliau ke tahap yang dikatakan oleh Anwar Ibrahim dan Mat Sabu tahap melampaui batas.

Kerana Tun M memegang tanpuk kuasa, maka tuduhan itu tidak menjadi kudis pun.

Begitu juga kes Forex. Walaupun telah ada penyiasatan dan terbukti kes itu merugikan negara berbilion ringgit tetapi oleh sebab kuasa di tangan Tun M, isu itu tamat begitu saja.

Begitu juga kisah Datuk Seri Najib Tun Razak. Ketika ini sama ada dia salah atau tidak belum lagi diketahui.

Banyak isu yang melibatkan beliau termasuk isu 1MDB. Semasa berkuasa segala tuduhan itu berjaya disorok daripada diketahui oleh sesiapa, terutama rakyat.

Setelah hilang kuasa, Najib didakwa dalam 46 kes. Hilang kuasa juga mengheret sama Datin Sri Rosmah ke mahkamah. Kuasa hilang kekebalan juga hilang

Begitu juga Lim Guan Eng, Rafizi dan beberapa individu lain daripada blok kerajaan.

Ada antara mereka masih dalam proses di mahkamah dan ada yang telah dijatuhkan hukuman.

Sebaik memenangi PRU14 lalu, ada antara mereka yang digugurkan kes daripada pendakwaan.
Begitu lah hebatnya memiliki kuasa.

Teringat saya akan ucapan seorang pendakwah dari Indonesia.

Beliau mengatakan bahawa siapa saja yang diangkat menjadi pemimpin di dunia ini, hakikatnya Allah pinjamkan kekuasaan bersama mereka.

Tidak kira pemimpin itu lelaki atau perempuan, Islam atau kafir, buta atau tidak, tetap Allah SWT meminjamkan kuasa kepada mereka.

Ketika Tun M berkuasa, dia mahu penjarakan Anwar, perkara itu pasti terjadi. Ketika Tun M berkuasa kali kedua, dia mahu bebaskan Anwar, maka bebas lah Anwar itu.

Tetapi apabila sudah tidak lagi jadi pemimpin, sedetik selepasnya segala-galanya boleh hilang dalam sekelip mata.

Tun M, Najib, Anwar, Zahid Hamidi, Pak Lah, semuanya pernah merasa nikmat berkuasa dan kehilangan kuasa.

Tetapi apakah mereka ini jenis manusia yang ingat akan teladan ketika berkuasa dan tidak ada kuasa?

Apakah mereka sedar bahawa kuasa yang ada pada mereka adalah sekadar pinjaman dan sementara sifatnya?

Berdasarkan 13 bulan selepas kembali berkuasa, hati saya berkata, Tun M masih tidak sedar bahawa kuasa itu hanya pinjaman.

Begitu juga dalam kes Azmin. Dia masih selamat kerana berdamping dengan orang yang ada kuasa.

Dia kebal, sekebal-kebalnya.

Apatah lagi, awal-awal lagi Tun M mengatakan bahawa video itu palsu.

Bagi saya pihak polis tidak perlu bersusah payah menyiasat siasat kes ini kerana Ketua kepada Ketua Hakim Negara, Ketua kepada Ketua Polis Negara dan juga Ketua kepada Peguam Negara telah buat kenyataan bahawa Azmin Ali bersih.

Hakikatnya, mereka lupa Yang Maha berkuasa atas semuanya ialah Allah SWT. – 10 Julai 2019

HAMDAN TAHA
Penganalisis Politik

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.