KETUA Pemuda UMNO Nibong Tebal, Norhiesam Ismail berkata Tun Mahathir Mohamad ada agenda tersembunyi susulan mengajak semua parti Melayu bergabung.

Norhiesam berkata, langkah Mahathir itu diambil selepas tindakan DAP yang kini dilihat mengatur kerajaan.

“Itu antara sebab mengapa Dr Mahathir membuat pelawaan tersebut.

“Ia juga menggambarkan tindakan terdesak daripada parti berkenaan,” katanya.

Selain itu, Mahathir dilihat terdesak kerana mula bermain dengan sentimen kuasa orang Melayu yang semakin menghilang.

Tegas Norhiesam, pihaknya tidak memandang remeh terhadap ajakan berkenaan walaupun politik orang Melayu ketika ini agak rencam dengan perpecahan ideologi.

Mahathir seharusnya perlu bertanggungjawab dengan perpecahan orang Melayu kini yang lebih kepada kepentingan dirinya sendiri.

“Sejarah tidak pernah menipu apa yang pernah beliau lakukan terhadap politik orang Melayu demi kepentingan dirinya.

“Politik Melayu berpecah adalah kerana Dr Mahathir sendiri, bermula dengan persengketaan beliau dengan Tengku Razaleigh Hamzah sehingga tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46.

“Selepas itu, pada 1998, beliau berselisih faham pula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Anwar dipecat.

“Anwar menubuhkan PKR dan timbulnya PRU 1999 menyaksikan sokongan orang Melayu kepada UMNO dan BN merosot teruk akibat perpecahan ini,” ujarnya.

Terbaru pula, Norhiesam berkata, senario Mahathir bersungguh-sungguh ingin menghancurkan Datuk Seri Najib Razak pada PRU 14 dengan menubuhkan Bersatu.

“Bersatu ini sanggup bersekongkol dengan DAP yang jelas mengamalkan rasis terhadap orang Melayu.

“Kalau benar dia bimbang dengan politik Melayu, Bersatu sepatutnya kembali ke pangkuan UMNO untuk memperjuangkan nasib orang Melayu di negara ini.

“Sehingga hari ini, parti itu gagal memperjuangkan nasib orang Melayu yang mana jelas DAP yang mencorak kerajaan hari ini walaupun yang menjadi PM adalah Mahathir,” katanya. – 10 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.