KERAJAAN Pakatan Harapan akan melonggarkan syarat melawat Malaysia kepada pelancong dari China dan India.

Ini termasuk memperluaskan visa ketibaan (VOA) untuk pelancong dari dua negara besar itu.

Langkah-langkah baharu yang bakal diperkenalkan itu dijangka dapat menambah kemasukan pelancong asing ke negara ini khususnya pada Tahun Melawat Malaysia 2020.

Kemudahan visa ketibaan akan diperluaskan ke lebih banyak pintu masuk termasuk  Sungai Tujuh di Sarawak, Bukit Kayu Hitam dan Pulau Langkawi di Kedah serta di Pulau Labuan.

Walau bagaimanapun menurut Sinchew Daily, pelancong berkenaan mesti masuk melalui negara ketiga, yakni tidak boleh terbang secara terus ke Malaysia dari negara asal di China atau India.

Menurut sumber, walaupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mencadangkan supaya pelancong China dan India yang masuk secara terus dari negara asal diberi visa ketibaan, tetapi cadangan itu ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri.

Tempoh “cooling off” visa turut dipendekkan dari tiga bulan kepada satu bulan, yakni pelancong boleh memohon semula visa ketibaan selepas tempoh satu bulan.

Sebelum ini, terdapat pihak yang mengharapkan lawatan tanpa visa dibuka kepada pelancong China dan India, tetapi cadangan tanpa visa sukar dilaksanakan Malaysia pada masa ini. – NTHQiBord, 10 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.