HARI ini 10 Julai 2019 bersamaan 7 Zulkaedah 1440 adalah hari ulang tahun kelahiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir ke-94.

“Saya doakan semoga Tun terus diberi kekuatan untuk menjadi PM ke-7 hingga tamat penggal kerajaan PH ini,” kata Roslan Shahir Mohd Shahir, Timbalan Pengerusi III Lajnah Penerangan PAS.

Mahathir adalah PM tertua di dunia dan tiada seorang pun memiliki pencapaiannya menjadi PM dua kali di rantau ini. Kembali sebagai PM pada jarak 15 tahun!

Bagi Roslan, walau berbeza parti dan fahaman politik namun dia (ahli PAS) diajar untuk menghormati jawatannya sebagai PM apatah lagi usia Mahathir.

Dalam pada itu Roslan mahu Mahathir mengunakan peluang yang diberi Allah SWT ini untuk membela dan memartabatkan Islam, menyatukan ummah dan memperoleh redha Allah SWT.

“Gunakan juga untuk membela nasib anak bangsa, memperkasa kedudukan orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya.”

“Kembalikan harga diri dan maruah agama, bangsa dan negara dan jangan tunduk kepada tuntutan puak liberal, rasis dan pelampau,” kata Roslan lagi.

Roslan berharap semoga Mahathir menjadi pemimpin yang prihatin, adil, takut pada Allah dan benci pada kezaliman dan kemungkaran.

Bagi Roslan, hanya Mahathir seorang diberi peluang oleh Allah menjadi PM kali kedua pada senja usia ini, maka pergunakanlah kurniaan ini untuk memperbanyakkan bekalan ketika bertemu Allah nanti.

“Apapun Selamat Hari Lahir PM ku. Moga berakhir sebagai seorang pemimpin baik dunia dan akhirat,” kata Roslan.

Sehingga kini, Mahathir memegang rekod sebagai Perdana Menteri tertua di dunia.

Uniknya, Mahathir telahpun bersara namun keluar daripada persaraan untuk kembali memimpin kerajaan. – 10 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.