BARU-baru ini, dalam gegak gempita politik tanah air, tiba-tiba Tun Dr Mahathir menyeru agar orang Melayu bersatu demi kuasa politik.

Secara umumnya, seruan untuk orang Melayu bersatu itu amat bagus dan sedang diusahakan oleh UMNO, PAS dan NGO lainnya.

Namun, bagi Tun Abdul Hamid Mohamad, bekas Ketua Hakim Negara pelawaan Mahathir itu mungkin telus dan mungkin ada yang tersirat.

Yang pertama, secara telusnya, Mahathir memang ikhlas mahukan orang Melayu bersatu.

Keduanya, yang tersiratnya seruan itu lebih kepada mahu menyelamatkan kedudukan Mahathir.

Seruan itu semakin jelas yang tersiratnya apabila Mahathir membuat penjelasan pada hari berikutnya, pelawaan itu lebih kepada ahli-ahli, bukan parti.

Hujah Tun Hamid ialah, tempoh janji Mahathir untuk peralihan jawatan PM kepada Anwar semakin dekat.

Hakikatnya, rakyat melihat peralihan itu mungkin tidak berlaku dalam tempoh tedekat.

Jalan paling strategik bagi Mahathir ialah meramaikan lagi ahli Parlimen dalam bersatu.

“Sebenarnya pelawaan beliau itu adalah ditujukan kepada ahli-ahli Parlimen UMNO supaya melompat parti. Tetapi, beliau tidak boleh terus menujukan pelawaannya kepada mereka. Perpaduan Melayu adalah alasan yang paling sesuai digunakan.”

“Dilihat dari sudut ini, pelawaan itu nampaknya bukanlah terbit daripada niat untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam, tetapi kerana terdesak untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai PM dan partinya dalam PH,” ulas Tun Hamid.

Menurut Tun Hamid, selama ini, perbuatan ahli-ahli Parlimen dan DUN melompat parti dipandang sebagai satu perbuatan tidak bermoral.

Ia dilakukan oleh orang-orang yang opportunis. Jika ada parti yang mempelawa mereka melompat pun, ia dilakukan diam-diam.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah politik Malaysia, pelawaan itu dibuat secara terbuka.

Namun, pelawaan terbuka itu tidak membuatkan ahli Parlimen atau orang Melayu berduyun-duyun Bersatu.

Jika pelan penyatuan Melayu pertama dan kedua Mahathir gagal. Apa pula seterusnya?

Pilihan yang Mahathir ada jika tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri ialah meminta Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengadakan pilihanraya umum.

Namun, tentunya parti lain dalam PH tidak akan berdiam diri. Ada kemungkinan mereka melakukan undi tidak percaya kepada Tun Mahathir.

Jadi, sebagai orang lama dalam politik, Mahathir sudah membuat pertimbangan secukupnya berdasarkan senario poliik Malaysia hari ini.

Jangan pandang sebelah mata sahaja kerana Mahathir melihat jauh ke hadapan. Rakyat kena tunggu dan lihat apa seterunya? – 11 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.