KERAJAAN nampaknya tidak serius menangani isu pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang Johor.

Berdasarkan pendedahan Ketua Bahagian MCA Pasir Gudang, Tan Tuan Peng kesemua alat pengesan gas yang dibekalkan tidak sesuai digunakan di 111 sekolah di Pasir Gudang.

Jelasnya, alat yang berharga sekitar RM10,000 setiap satu itu hanya sesuai digunakan untuk kawasan tertutup bukan kawasan terbuka seperti sekolah.

“Saya dah terlibat dalam bidang PPE (peralatan perlindungan diri) lebih 10 tahun dan membekalkan alat pengesan gas sejak lima tahun lalu jadi saya tahu fungsi alat yang dibekalkan itu tidak sesuai.

“Sampai sekarang kerajaan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tak dapat kesan gas apa yang menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang. Kenapa? Sebab mereka menggunakan peralatan yang tak betul,” katanya.

Tuan Peng berkata, kerajaan sepatutnya alat yang dibekalkan hanya sesuai untuk kawasan tertutup macam terowong dan dalam kapal sedangkan sekolah itu bukan kawasan tertutup.

Sehubungan itu beliau mencadangkan kerajaan supaya membeli sebuah ‘Gas Analyst Equipment’ untuk analisa gas, bukan 111 alat pengesan gas letak di sekolah.

Katanya, peralatan menganalisa gas yang bernilai antara RM50,000 hingga RM200,000 itu boleh mengesan segala jenis gas yang terkandung dalam udara seperti yang digunakan Petronas pada kes pencemaran Sungai Kim Kim.

“Alat pengesan gas itu hanya boleh kesan satu gas sahaja pada satu-satu masa sedangkan ‘Gas Analyst Equipment’ boleh kesan segala jenis gas kimia dalam udara. Kurang seminggu sahaja dapat kesan gas yang jadi punca pencemaran di Pasir Gudang.

“Kalau ada lima buah ‘Gas Analyst Equipment’ di Pasir Gudang lebih baik,” katanya. – 11 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.