KES rogol warga Indonesia yang membabitkan Exco DAP Perak Paul Yong Choo Kiong boleh menjejaskan hubungan baik Malaysia dan Indonesia.

Demikian dinyatakan oleh Datuk Dr Azhar Ahmad, penganalisis politik.

“Dari segi prosedur, apabila polis menerima laporan, mereka mesti menjalankan siasatan.”

“Rogol bukan kes biasa tetapi kes jenayah. Oleh itu, sebaik menerima laporan polis akan melakukan penahanan terhadap tertuduh,” kata Dr Azhar.

Bagi beliau, apa pun jawatan tertuduh sama ada exco mahupun menteri, jika bersabit kes rogol mestilah disiasat dengan setelus-telusnya.

Jangan ada mana-mana pihak cuba menutup melindungi pesalah tersebut.

Selain itu, kes ini mungkin menjejaskan hubungan baik Malaysia dan Indonesia.

“Hubungan Malaysia dan Indonesia sangat baik. Jangan cemarkan nama baik Malaysia akibat tindakan exco ini.”

“Saya bimbang akan ada anasir yang mengganggu-gugat hubungan baik ini. Tidak mustahil berlaku rusuhan di kedutaan Malaysia di Indonesia jika tidak ditangani dengan baik,” kata Dr Azhar lagi.

Isu ini sangat sensitif, tambahan pula tertuduh merupakan penggubal undang-udang peringkat negeri.

Walau apapun, Dr Azhar meminta semua pihak memberikan ruang kepada pihak polis melakukan tugas mereka.

Polis juga diminta tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba campurtangan.

Terdahulu, mangsa tampil membuat laporan polis selepas dipercayai dirogol di kediaman lelaki itu di Meru, Ipoh.

Dalam laporan itu juga, mangsa mendakwa tertuduh mencabulnya sehari sebelum kejadian rogol tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, ACP Choo Lily mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain menyatakan bahawa mangsa kini berada dalam pengawasan polis bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. – 11 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.