JUTAAN pengikut bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengikuti perkembangan terbaru politik negara apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN semalam dengan rasa lega dan gembira.

Kadar kebergantungan rakyat terhadap media sosial untuk mendapat maklumat yang benar kini berpaksikan laman Facebook yang menduduki carta nombor satu dalam negara, Najib Razak.

Kelebihan Najib terletak pada cara penyampaian beliau yang bercakap 100 peratus bersandarkan kepada fakta yang tidak diubah dan gagal disangkal oleh PH.

Setiap hari Najib mengkritik kerajaan dengan jujur dan sedikit demi sedikit rakyat membuka mata terhadap kebenaran kerana beliau langsung tidak memainkan sentimen kebencian, hasutan, malah jauh sekali dari mengajak rakyat turun memberontak di jalanan walaupun dihadapkan dengan puluhan dakwaan tidak masuk akal di mahkamah.

Berbeza dengan pendekatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib tidak mengajak rakyat untuk membela dirinya, sebaliknya beliau terus membela rakyat.

Najib membela dirinya secara terhurmat dengan membentangkan kebenaran samada di media sosial atau di mahkamah, bukan di jalanan.

Berbeza juga dengan pendekatan Tun Mahathir Mohamad yang mengajak ahli UMNO memberontak dan menggesa satu demi satu Presiden UMNO meletak jawatan, sebaliknya Najib mengajak ahli UMNO berhenti bergaduh dan bersatu di bawah pemimpin-pemimpin yang telah dipilih.

Kini Najib mendapat kuasa pengaruh yang begitu besar bukan dari jawatan dalam UMNO, tetapi dari sifat kasih sayang yang ditunjukkan nya kepada rakyat.

Najib mendapat kembali kasih sayang yang diberikannya kepada rakyat dengan pulangan kasih sayang secara semulajadi dan tanpa syarat, bukan secara hasutan dan tohmahan.

Rakyat tidak meminta apa-apa darinya melainkan kasih sayang tanpa syarat kerana rakyat tahu beliau bukan lagi Perdana Menteri yang berkuasa.

Memang menakjubkan kuasa Allah Taala yang meniupkan kasih sayang ke hati manusia.

Atas semangat perjuangan dan pengaruh semulajadi Najib yang diperolehi secara kasih sayang, bukan kuasa “legitimate” atau “veto”, maka BN sebulat hati memilih beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN semalam.

Najib dilihat sebagai lambang kuasa yang menakluk hati rakyat walaupun BN tewas pada PRU14 dan kasih sayang rakyat!

Anwar telah beberapa kali didakwa, dijatuhkan hukuman bersalah dan diampunkan setelah PH bersetuju menerima Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Kini Dato Seri Anwar juga menjadi calon Perdana Menteri ke 8.

Lim Kit Siang telah berjuang lebih 60 tahun untuk menjatuhkan kerajaan BN namun gagal sepanjang lebih separuh abad, namun PH tidak pernah meminggirkan Lim Kit Siang.

Mengambil kira iklim politik semasa, perlantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN adalah satu tindakan bijak dan berasas dengan mengambilkira populariti dan penerimaan rakyat terhadap beliau.

Najib telah membuktikan beliau Perdana Menteri Malaysia paling berjaya dalam sejarah dengan pencapaian ekonomi negara yang melebihi campuran pencapaian 5 Perdana Menteri sebelumnya!

Najib telah membuktikan dirinya adalah Perdana Menteri yang paling mengambil berat kehidupan rakyat B40 sehingga jutaan rakyat masih menyayangi nya walaupun dihadapkan dengan puluhan dakwaan tidak munasabah di mahkamah hari ini.

Berikutan kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz yang mempertikai perlantikan Dato Seri Najib, Emperical Malaysia menganggap ianya satu kenyataan tidak berkredibiliti dari seorang pemimpin paling tidak bertanggungjawab dalam BN.

Beberapa bulan lalu, Nazri melancarkan kempen tidak masuk akal untuk BN bersama DAP dan ianya ditolak mentah oleh ahli UMNO sebelum idea tersebut sempat dipotong tali pusatnya.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional tersebut langsung tidak pernah membela BN dan rakyat selepas PRU14, sebaliknya hanya membuat kenyataan tidak masuk akal.

“BN kalah bawah siapa? Apa jenis nasihat yang dia boleh sumbangkan kepada kita?” katanya kepada pemberita di Parlimen.

Jika Nazri menyifatkan langkah itu sebagai regresif kerana meragui Najib yang kembali popular dengan fenomena ‘bossku’, boleh menasihati BN, rakyat menyifatkan Nazri yang akrab dengan Lim Guan Eng sebagai duri dalam daging kepada perjuangan rakyat hari ini.

Rakyat tidak mencari duri, tapi rakyat mencari penawar ketika kehidupan 34 juta rakyat Malaysia sedang menderita di bawah kerajaan penipu ditunjangi DAP.

Seperkara lagi, Nazri juga terlibat dengan DAP dalam kertas siasatan SPRM berkaitan Projek Terowong Dasar Laut.

Mungkin Nazri perlu menumpukan perhatian untuk membersihkan namanya terlebih dahulu sebelum bimbangkan perlantikan Dato Seri Najib Razak.

Persoalannya, siapa yang kuat mengkritik dan melawan PH setiap hari?

Nazri ke?

Siapa yang semakin disayangi Rakyat dan popularitinya melonjak setelah ramai sedar beliau telah difitnah dan dianiayai berulang kali oleh PH?

Khairy Jamaluddin ke?

Siapa yang berani melawan anak-beranak DAP dengan fakta sehingga kedua-dua nya tidak dapat membalas?

Nazri dan Khairy Jamaluddin ke?

I rest my case. – 11 Julai 2019.

ANINA SAADUDIN,
Pengasas Emperical Malaysia,
Bekas pengasas Parti Bersatu.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.