KEDEGILAN Kerajaan Pulau Pinang di bawah DAP meneruskan projek tambak laut mendorong kira-kira 200 nelayan mengadakan tunjuk perasaan di luar Parlimen hari ini.

Nelayan dari Perak dan Pulau Pinang itu membawa kain rentang antaranya bertulis, ‘Tolak Tambak Pulau Pinang’ dan ‘Pemaju Makan Ikan, Nelayan Makan Tulang’ ketika berhimpun.

Mereka membantah penambakan tiga pulau buatan di Pulau Pinang yang disamakan dengan Forest City di Johor.

Ketua Nelayan Pulau Pinang Nazri Ahmad berkata, projek tiga pulau buatan itu menjejaskan sumber mata pencarian nelayan, sekali gus menolak projek itu yang memberi kesan buruk kepada mereka.

“Saya yakin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan projek Forest City kerana tidak bawa manfaat kepada rakyat tempatan, begitu juga projek ini.

“Tiga pulau itu tidak beri manfaat kepada kami. Kami masyarakat yang setia dengan kerajaan, jangan jadikan kami pemberontak. Kita setia dengan kerajaan memerintah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Perak Mansor Yusof berkata aktiviti korek pasir itu menjejaskan pendapatan kira-kira 9,000 nelayan dan ekosistem laut.

“Sekarang ikan kembung RM20 sekilogram, akan datang mungkin harga ikan kembung mencecah RM30 sekilogram.

“Bukan kita nak tunjuk perasaan tapi kita minta kerajaan prihatin nasib kita, mereka ini akan hilang sumber mata pencarian mereka,” katanya. – 11 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.