WALAUPUN terkejut dengan pelantikan Datuk Seri Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah tetap mengambil positif dengan langkah tersebut.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu berkata, beliau percaya dengan situasi yang dihadapi UMNO ketika ini, tugas Najib adalah untuk membantu BN dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti itu.

Tengku Razaleigh berkata, walaupun Najib berdepan pelbagai tuduhan mahkamah, bekas Perdana Menteri itu tidak semestinya menjadi beban kepada UMNO dan BN.

“Pelantikan Najib itu tidak salah kerana BN dan UMNO memerlukan sokongan semua pihak untuk menghidupkan semula kedua-dua parti itu.

“Mungkin kita akan diuji daripada segi apakah nasihat yang kita patut terima (daripada Najib),” katanya sambil menambah tidak semua nasihat Najib perlu dituruti.

Tengku Razaleigh juga tidak menolak kemungkinan budaya dan pengaruh ‘warlord’ kembali menguasai UMNO susulan pelantikan tersebut.

Namun katanya, perkara itu disifatkan sebagai ujian yang bersifat sementara.

“Mungkin (warlord kembali muncul dan mengatasi kumpulan pembaharuan dalam UMNO). Tapi saya rasa ini hanya fasa sementara dan ujian untuk kita semua.

“UMNO bukan milik ahlinya semata-mata kerana ia milik semua lapisan masyarakat, sama seperti BN, ia parti nasional. Pemimpin datang dan pergi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. – 11 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.