PARTI Putra menggesa pihak polis menyiasat sekumpulan aktivis yang mengadakan tunjuk perasaan di depan Penjara Kajang semalam bagi menuntut pembebasan penceramah bebas, Wan Ji Wan Husin.

Wan Ji dihukum penjara setahun di bawah Akta Hasutan kerana menghina Sultan Selangor dan kumpulan aktivis itu mendakwa hukuman yang dikenakan tidak wajar.

Ketua Penerangan Penaja Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, tindakan kumpulan aktivis itu secara jelas menghina mahkamah kerana mengkritik keputusan hakim mengenakan hukuman ke atas Wan Ji.

Jelasnya, adalah tidak adil buat hakim tersebut kerana beliau tidak boleh membuat sidang media jika keputusannya dikritik oleh kumpulan aktivis itu.

“Tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengkritik keputusan itu sudah menunjukkan mereka menghina mahkamah.

“Kesalahan ini adalah serius di sisi Perlembagaan,” katanya.

Khairul berkata, jika ada pihak yang tidak puas hati dengan keputusan mahkamah itu, mereka masih boleh merayu.

Tegasnya, kerajaan tidak boleh menggunakan media untuk menyebarkan kebencian dan memberi mesej yang salah.

“Rakyat akan salah faham dengan menyangka tidak mengapa untuk hina raja, asalkan hak kebebasan bersuara diberikan.

“Akta Hasutan adalah kawalan kebebasan bersuara bagi mengelak berlakunya kerosakan kepada negara,” katanya. – NTHQiBord, 11 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.