JIKA kerajaan berjaya memulihkan Proton dan kini kembali bernafas, apa salahnya jika kemahuan yang sama dilakukan kepada Malaysia Airlines Bhd (MAB).

“Saya menyeru pihak Kerajaan Malaysia menerusi Khazanah Nasional Bhd berusaha sebaik mungkin memulihkan prestasi syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines Bhd (MAB).”

“Kerajaan mestilah mengambil kira semua pandangan tanpa menutup atau menjual pegangan majoriti atau sepenuhnya kepada pihak lain terutamanya syarikat asing,” kata Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS.

Menurut Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian, MAB adalah aset strategik negara.

Berdasarkan polisi pelaburan Khazanah, aset strategik harus dipertahankan berbanding aset komersial.

MAB boleh distruktur semula bagi menepati objektif pelaburan yang telah ditetapkan.

“Saya juga bersetuju syarat pemulihan syarikat penerbangan Malaysia Airlines harus mengekalkan identiti negara dan tidak memberhentikan semua stafnya.”

“Saya percaya MAB hanya kekurangan satu rakan strategik yang arif di dalam industri penerbangan untuk memulihkannya,” kata Tuan Ibrahim.

Oleh itu, kerajaan juga digesa untuk menilai pelan pemulihan yang pernah dibentangkan dalam Khazanah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan lebih teliti.

Tuan Ibrahim berpendapat, kerajaan perlu beri peluang supaya pelan tersebut berjalan mengikut rancangan dan tempoh masa yang asal.

Terdahulu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Parlimen bahawa Khazanah Nasional Bhd kini bekerjasama dengan Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB).

Kedua-dua syarikat ini menggubal semula strategi serta menilai semua pilihan strategik untuk memulihkan prestasi syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Menurut Mahathir MAGB sedang melaksanakan usaha bersepadu untuk mengurangkan kerugian melalui peningkatan pendapatan dan inisiatif rasionalisasi kos.

MAB pula kini giat meneroka pelbagai peluang strategik serta rangkaian kerjasama yang mampu membawa kebaikan kepada syarikat penerbangan berkenaan.

Mahathir juga memaklumkan bahawa kerajaan terbuka dan mengalu-alukan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak bagi menyelamatkan Malaysia Airlines, termasuk pembelian oleh sektor swasta.

Syarikat penerbangan ikonik ini diasaskan sejak 72 tahun lalu itu dengan nama bermula dengan Malayan Airways.

Kemuncak kegemilangan syarikat ini ialah ketika zaman Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman menjadi Pengarah Urusan. – 11 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.