SIASATAN segera perlu dijalankan tanpa prejudis terhadap kes pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dirogol oleh seorang Exco DAP Perak, gesa Datuk Noraini Ahmand.

Ketua Wanita UMNO itu berkata, kerajaan perlu memastikan tiada campur tangan politik terhadap siasatan yang dilakukan.

Katanya, hal ini disebabkan oleh sistem perundangan kini yang jelas diperkotak-katikkan oleh segelintir pihak apabila kes yang berlaku melibatkan seorang ahli kerajaan.

“Sistem perundangan negara tidak dihormati terutama apabila keputusan-keputusan yang melibatkan individu yang berkaitan dengan kerajaan.

“Keputusan mahkamah pun tidak dihormati.

“Siasatan yang adil dan telus perlu dilakukan segera memandangkan pengesahan dakwaan tersebut telahpun dibuat oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, ACP Choo Lily,” katanya.

Noraini berkata, Wanita UMNO masih yakin terhadap pihak berkuasa tempatan akan menjalankan tugas dengan amanah.

Beliau berharap tiada sebarang isu maklumat akan disembunyikan daripada pengetahuan umum.

“Wanita UMNO masih percaya pihak berkuasa akan menjalankan tugas mereka dengan telus dan adil tanpa menyembunyikan sebarang fakta,” katanya dalam satu kenyataan.

Negara digembarkan dengan kes rogol melibatkan Paul Yong Choo Kiong selepas pembantu rumahnya membuat laporan polis dengan dakwaan dirogol oleh pemimpin DAP itu.

Bagaimanapun Paul Yong menafikan dakwaan tersebut dan siasatan polis masih lagi dijalankan. – 11 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.