TINDAKAN sekumpulan aktivis berhimpun di depan Penjara Kajang bagi mendesak pembebasan penghina sultan, Wan Ji Wan Husin merupakan agenda terancang bagi menjatuhkan institusi diraja.

Presiden Putra, Datuk Paduka Ibrahim Ali berkata, mereka secara jelas menghina raja-raja Melayu kerana menyatakan sokongan terhadap Wan Ji yang dihukum penjara setahun kerana mencerca Sultan Selangor.

Jelasnya, kumpulan aktivis itu juga yang dihadiri wakil Bersih cuba menghasut rakyat untuk menghapuskan Akta Hasutan.

“Ini adalah gerakan terancang untuk jayakan pergerakan Wan Ji yang mahu menghapuskan institusi raja-raja pada 20130 seperti yang diakuinya dalam video di YouTube.

“Jadi saya mohon polis bertindak tegas menyiasat perlakuan jenayah oleh kumpulan aktivis ini dalam perhimpunan tersebut,” katanya.

Ibrahim juga menjelaskan kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh segelintir pihak kononnya Akta Hasutan sudah digantung.

Katanya, akta tersebut masih berfungsi seperti biasa kerana ia perlu mendapat perkenan majlis raja-raja sebelum dibawa ke Parlimen untuk digantung atau dimansuhkan.

“Mereka berhujah hukuman terhadap Wan Ji tidak sah kerana akta ini telah digantung.

“Ini tidak benar kerana ia belum mendapat perkenan majlis raja-raja dan akta ini masih berkuatkuasa,” katanya.

Ibrahim turut menegaskan kepentingan Akta Hasutan dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

Katanya, walaupun Akta Hasutan masih berkuatkuasa, ada pihak yang berani mencetuskan kemarahan rakyat.

“Cuba bayangkan jika akta ini tiada. Jadi perbuatan Wan Ji (menghina sultan) jadi halal.

“Akta ini bukan setakat jaga kedaulatan raja-raja Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan tapi ini melibatkan pelbagai isu yang boleh mencetuskan pergaduhan,” katanya. – NTHQiBord, 11 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.