PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak mempunyai masalah dengan kritikan terhadapnya kerana melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Katanya, semua kritikan itu sama sekali tidak boleh menafikan kelebihan yang ada pada Najib yang sudah banyak berjasa dan menyumbang kepada parti.

Malah Ahmad Zahid menyuarakan keyakinan bahawa Najib boleh membantu BN menangi pilihan raya akan datang.

“Jika terdapat tokoh atau individu yang mempunyai idea terbaik untuk melakukan sesuatu yang berbentuk proaktif, ia amat dialu-alukan.

“Tetapi tidak begitu sesuai jika pandangan yang berbentuk mengetepikan kelebihan seseorang dalam sumbangannya apatah lagi mempunyai pengaruh yang boleh memenangi PRU15,” katanya.

Menurut Zahid, pelantikan Najib juga masih relevan dalam politik Malaysia kerana dipersetujui Ahli Majlis Tertinggi Umno dan komponen BN iaitu MCA dan MIC.

“Kemungkinan kita akan melantik tokoh lain juga (dari MCA dan MIC) dalam lembaga penasihat BN,” katanya. – 11 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.