Peraturan baru e-panggilan bakal menyebabkan bilangan pemandu-rakan kongsi berkurang dan harga tambang lebih tinggi buat pengguna.

Grab dalam satu kenyataan berkata, pengguna mungkin mengalami penetapan harga yang lebih tinggi susulan pengenalan sistem baru e-panggilan terhadap pengangkutan awam itu kerana ia bergantung kepada kawasan serta masa perkhidmatan diperlukan.

“Apabila ramai pelanggan membuat tempahan melebih bilangan pemandu yang ada di sesuatu kawasan pada masa puncak, hari hujan atau tempat lebih terpencil, maka harga tambang akan naik”.

“Ia juga bergantung kepada permintaan dan sekiranya sebelum ini mereka menunggu dalam masa yang lebih singkat tetapi sistem sekarang mereka terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan,” katanya.

Walaupun peraturan baru e-panggilan diumumkan pada tahun lepas, namun proses mendapatkan lesen kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) baru sahaja dipraktikkan pada April tahun ini.

“Sejak itu, Grab bersama-sama dengan pemandu-rakan kongsi kami bekerja keras bagi mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan itu,” katanya.

Tambah Grab, penetapan kerajaan untuk semua pemandu e-panggilan yang perlu memohon lesen PSV juga melibatkan pemandu teksi dan dijangka melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM800.

“Kerajaan menetapkan semua pemandu e-panggilan perlu memohon lesen PSV, yang turut melibatkan pemandu teksi”.

“Pemandu perlu mengikuti sesi latihan 6 jam di pusat memandu dan membayar yuran sebanyak RM200 bagi mendapatkan lesen PSV”.

“Mereka juga perlu menjalani pemeriksaan kenderaan permulaan dan tahunan di pusat Puspakom, lulus pemeriksaan rekod jenayah dan perubatan, menyumbang kepada Socso, membeli tambahan insurans kenderaan e-panggilan dan melengkapkan kereta dengan peralatan keselamatan, termasuk pemadam api,” katanya.

Dalam pada itu, Grab menasihatkan pelanggan supaya membuat tempahan lebih awal di luar waktu puncak dari pukul 7 hingga 9 pagi dan 5 hingga 8 petang.-12 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.