KETUA Eksekutif Malakoff Corp Bhd (Malakoff) Datuk Ahmad Fuaad Kenali mengumumkan pengambilalihan 40 peratus kepentingan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dalam Malaysian Shoaiba Consortium Sdn Bhd (MSCSB).

Pembelian kepentingan dengan nilai AS$70 juta (RM289 juta) itu dibuat melalui anak syarikat milik penuh tidak langsung Malakoff, Malakoff Gulf Ltd

“Ia berhubung pengambilalihan keseluruhan kepentingan dalam Desaru Investments (Cayman Isl.) Ltd yang mana ia memiliki 40 peratus saham dalam Shoaiba Consortium.

“Pada masa ini, Malakoff Gulf memiliki baki 40 peratus manakala Tenaga Nasional Bhd memegang baki 20 peratus,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.

Menurut Ahmad Fuaad, pengambilalihan itu akan memberikan pertambahan pendapatan segera kepada syarikat di samping meningkatkan aliran tunainya.

Berikutan pengambilalihan itu, kepentingan ekuiti efektif tidak langsung Malakoff dalam Saudi-Malaysia Water & Electricity dan AOMC akan meningkat kepada 40 peratus manakala MSCSB akan menjadi anak syarikat tidak langsung dengan 80 peratus kepentingan.

“Ia menerusi baki kontrak 10 tahun lagi di bawah perjanjian pembelian air dan kuasa Shuaibah Water & Electricity Co Ltd bagi Loji Kuasa dan Air Bebas Shuaibah 3.

“Ia juga termasuklah perjanjian pembelian air di bawah Shuaibah Expansion Project Company (SEPCO) bagi Pengembangan Loji Air Bebas Shuaibah 3.

“Cadangan pengambilalihan itu akan meningkat dan mengukuhkan kapasiti janaan efektif Malakoff bagi kuasa dan air kepada 6,708 MW dan 544,375 meter padu sehari daripada 6,600 MW dan 420,925 meter padu sehari sebelum ini,” katanya.

Shoaiba Consortium memegang 50 peratus kepentingan dalam Saudi-Malaysia Water & Electricity Company Ltd, yang seterusnya memegang 60 peratus dalam Shuaibah Water & Electricity dan 60 peratus dalam SEPCO.

Shuaibah Expansion mempunyai 97.5 peratus kepentingan dalam SEPCO. Saudi-Malaysia Water & Electricity juga mempunyai kepentingan langsung dalam SEPCO sebanyak satu peratus.

Malakoff Berhad ialah IPP iaitu syarikat pembekalan elektrik dan gas Malaysia.

Syarikat ini merupakan salah satu syarikat di bawah Kumpulan MMC Corporation Berhad.

Salah seorang pemegang saham dalam Malakoff Berhad ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary yang memilik saham 22.7 peratus. – 12 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.