PAS hanya akan memberi tumpuan kepada agenda penyatuan antara parti itu dan UMNO tanpa perlu mencampuri urusan yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, urusan dalaman BN dan kerjasama secara politik di antara Pas dan UMNO adalah dua perkara yang berbeza.

“Pas tidak campur hal parti lain, (kerjasama Pas-UMNO terjejas tak dengan pelantikan itu) itu hal lain, penyatuan kedua-dua parti pula hal lain… boleh bezalah tu,” katanya seperti dilapor Sinar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Semalam, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ir Khairil Nizam Khirudin juga menyatakan perkara sama dengan melihat pelantikan itu sebagai hal rumah tangga BN.

“Namun, PAS berharap pelantikan itu tidak sampai mengganggu tempo penyatuan ummah yang sedang berlaku sekarang,” katanya.

Khairil mengumpamakan hidup berjiran dalam sesebuah masyarakat.

“Jika jiran ada masalah, akan ditegur dengan cara baik. Tidaklah sampai membuat teguran melalui media maya,” katanya.

Menurut Khairil lagi, PAS akan fokus kepada usaha memperkasakan lagi gagasan penyatuan ummah.

“Apatah lagi ketika ini rakyat khususnya orang Melayu begitu bersemangat.

“Penyatuan ummah ini bukan sahaja tertumpu kepada UMNO dan PAS tetapi meliputi pelbagai pihak sama ada parti politik, badan bukan kerajaan malah mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” jelasnya. – 12 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.