PEGUAM Negara, Tommy Thomas mengaku beliau tidak tahu tentang rayuan balas pendakwaan dalam kes Akta Hasutan terhadap Wan Ji Wan Hussin yang dikenakan hukuman setahun penjara kerana menghina sultan.

Tommy berkata beliau hanya mengetahui perkara itu pada 9 Julai lalu selepas hakim menetapkan hukuman setahun penjara terhadap pendakwah bebas itu.

Wan Ji didapati bersalah dan disabitkan oleh Mahkamah Sesyen pada 9 April 2018.

Dia dijatuhi hukuman 9 bulan penjara dan seterusnya memfailkan rayuan terhadap sabitan itu dan pada hari yang sama, pendakwaan memfailkan rayuan balas.

Sehubungan itu, Thomas berkata rayuan balas oleh pendakwaan terhadap hukuman dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Tiada representasi bertulis yang pernah dibuat oleh tertuduh atau peguamnya kepada saya, dan saya sendiri tidak menyedari perkara ini sehingga keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Julai 2019 diketahui umum.

“Ini tidak menghairankan kerana pada mana-mana hari bekerja, kerajaan Persekutuan dan 13 kerajaan negeri terlibat dalam beratus-ratus kes jenayah dan sivil di semua mahkamah.

“Oleh itu, adalah mustahil untuk sesiapa mengikuti secara peribadi kes-kes ini,” kata Thomas.

Thomas berkata bahawa Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji pilihan yang ada berhubung rayuan Wan Ji di Mahkamah Rayuan. – 12 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.