PENGHINA sultan, Wan Ji Wan Husin patut bersyukur kerana dikenakan hukuman ringan atas kesalahan yang dilakukannya, kata Datuk Rafi Awang Kechik.

Presiden Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia itu berkata, penceramah bebas itu bernasib baik kerana dipenjara penjara setahun di bawah Akta Hasutan.

Jelasnya, Wan Ji sepatutnya dihukum di bawah Akta SOSMA kerana tuduhan dan penghinaannya terhadap raja-raja Melayu termasuk Sultan Selangor.

“Ia cukup- cukup menghina dan mengaibkan, bukan sahaja sultan Selangor malah institusi Raja-Raja Melayu, jadi bernasib baik kerana tindakan dia ini dibuat di dalam negara kita.

“Kalau benda ini berlaku di negara lain contohnya, negara Thailand, Wan Ji mungkin berdepan dengan hukuman mati kerana menghina raja,” katanya ketika dihubungi NTHQibord.

Rafi berkata hukuman yang dikenakan ke atas Wan Ji juga dianggap ringan kerana tempoh setahun penjara itu adalah singkat.

“Hukuman ini sebenarnya ringan walaupun hakim mahkamah menaikkan hukuman dari Sembilan bulan kepada setahun penjara.

“Ini mungkin kerana pada hemat hakim, tindakan Wan Ji sudah melampaui batas dan menyalahgunakan kebebasan bersuara,” katanya. – NTHQiBord, 12 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.