KEPUTUSAN membebaskan penceramah bebas, Wan Ji Wan Husin yang dikenakan hukuman penjara kerana menghina sultan, menunjukkan sistem perundangan negara yang lemah dan berlaku ketidakadilan, kata Datuk Rafi Awang Kechik.

Presiden Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia itu berkata, penangguhan hukuman tidak beerti hukuman Wan Ji telah dihentikan dan beliau dibebaskan.

“Penangguhan hukuman bukannya bermakna pembebasan penuh dan dia mungkin boleh merayu untuk bebas ataupun untuk ringankan hukuman.

“Tetapi sekiranya perkara itu berlaku, ia memperlihatkan sistem perundangan yang lemah dan tidak adil buat rakyat seolah hukuman yang berbeza berdasarkan kedudukan seseorang dalam negara,” katanya ketika dihubungi NTHQibord.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Wan Ji sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan memutuskan rayuannya terhadap sabitan hukuman mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan perkataan berunsur hasutan.

Wan Ji sebelum itu dijatuhi hukuman penjara setahun dan baru dua hari menjalani hukuman itu di Penjara Kajang.

Dia kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang sama pada Selasa lepas dan mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman pada hari yang sama.

Hina mahkamah

Dalam pada itu, Rafi berkata, mahkamah tidak boleh membiarkan perkara seumpama itu terjadi kerana ia boleh memberi peluang kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama terhadap institusi raja berPelembagaan.

Rafi berkata, kesalahan yang telah dilakukan cukup serius dan Wan Ji tidak boleh dibebaskan.

“Kalau ada campur tangan politik dan itu adalah untuk membebaskan dia, saya kira itu sebagai satu penghinaan kepada mahkamah.

“Mahkamah harus mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang menghina kelulusan yang dibuat oleh mahkamah berpandukan undang-undang sedia ada, “ katanya.

Namun jelasnya, rayuan penangguhan hukuman Wan Ji boleh diterima kerana dia masih warganegara Malaysia.

“Wan Ji ada hak nak merayu untuk penangguhan hukuman tu dan dibenarkan sebagai warganegara yang dijamin dalam Perlembagaan.

“Tapi hukuman tu sebenarnya memang patut diterima olehnya,” katanya. – NTHQiBord, 13 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.