DATUK Seri Najib Razak menegaskan pelantikan sebagai Penasihat Barisan Nasional (BN) bukan loncatan untuk jadi perdana menteri semula.

Bekas perdana menteri itu berkata, sesiapa sahaja boleh memainkan peranan sebagai Penasihat BN namun individu itu perlu sanggup mengkritik Pakatan Harapan secara konsisten selain mendapat sokongan MCA dan MIC.

Jelasnya, pelantikan itu memberi peranan kepadanya untuk memperkukuhkan lagi BN dan parti komponen yang lain.

“Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz atau sesiapa sahaja memang boleh main peranan sebagai Penasihat BN tapi adakah beliau sanggup kritik Kerajaan PH secara konsisten?

“Kita juga sedia maklum beliau sebelum ini telah diminta oleh MCA dan MIC melepaskan jawatan dia sebagai Setiausaha Agung BN,” katanya.

Beliau mengulas kritikan yang dilemparkan Nazri terhadapnya berhubung keputusan pelantikan tersebut.

Mengulas mengenai kritikan itu, Najib berkata, Pas sebelum ini telah menyatakan pendirian mereka mengenai perkara ini malah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri menjelaskan pelantikannya sebagai Penasihat BN tidak akan menjejaskan kerjasama antara UMNO dan Pas.

“Kita masih ingat lagi Nazri sebelum ini pernah menolak kerjasama dengan Pas ini tidak lama dahulu sebaliknya dia menggesa UMNO untuk bekerjasama dengan DAP dan ketepikan MCA dan MIC.

“Kalau nak sebut soal pilihan raya pula, MCA sebelum ini memaklumkan kepada saya antara sebab undi Cina merosot kerana kritikan keterlaluan beliau terhadap Tan Sri Robert Kuok sehingga menyebabkan orang Cina tersinggung dengan apa yang telah dilakukan oleh beliau,” katanya.

Najib berkata, ketika ini beliau dan rakan pimpinan parti yang lain akan memberi keutamaan bagaimana hendak memperkukuhkan BN dan parti komponen malah sesiapa yang boleh memberi sumbangan dan nilai tambah kepada parti boleh turut bersama.

“Inilah semangat yang perlu kita ada daripada kita mengkritik antara satu sama lain secara terbuka.

“Kita cari jalan bagaimana untuk bekerjasama antara satu sama lain yang boleh mengukuhkan lagi parti kita lagi,” katanya. – 14 Julai, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.