UMNO mengamalkan sikap keterbukaan terhadap sebarang komen dan pendapat, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, setiap ahlinya bebas mengkritik kepimpinan parti secara terbuka dan tidak akan memecat keahlian semata-mata mereka ini lantang bersuara.

“UMNO tidak akan sewenang-wenangnya memecat ahlinya hanya kerana mereka lantang mengkritik kepimpinan parti secara terbuka.

“Sebelum ini ramai juga yang komen pasal Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pun sebelum dia bercuti dan selepas dia balik bercuti.

“Kita tak pernah buang orang pun atas alasan itu,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, setakat ini mereka yang bersuara lantang belum pernah dipanggil untuk dikenakan tindakan tatatertib parti itu.

“Ahli kita tak ditutup mulut untuk bercakap tapi kalau sampai tahap yang terlalu lebih, mungkin Jawatankuasa Disiplin akan panggil tapi setakat ini tiada.

“Kalau komen kepada pemimpin, saya rasa itu perkara biasa dalam UMNO, zaman pemimpin dulu pun ramai juga yang komen kepada pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, beliau turut mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mencabar pucuk pimpinan parti itu untuk memecatnya.

“Nazri mencabar pucuk pimpinan parti itu memecat jika kurang senang dengan kritikan berhubung pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dalam kenyataan itu, Nazri juga menegaskan, beliau tidak gentar kerana beliau hanya meluahkan pandangan dan bukannya menyerang presiden parti itu serta ia untuk kebaikan parti.

“Saya tidak gentar kerana tidak menyerang presiden dan menyatakan kritikannya itu kerana sayangkan parti.

“Sebelum ini juga ada desakan meminta Najib tidak turun membantu kempen pilihan raya kecil kerana risau UMNO kalah, namun, tiada tindakan diambil kepada mereka yang mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Bagi kita, anda ada pendapat peribadi. Ramai yang sokong pelantikan Najib dan ada yang tak setuju tapi yang penting perkara itu diteruskan, maknanya, Najib tak berhenti disebabkan komen-komen itu.

“Setakat ini dua orang saja yang bercakap, kalau majoriti cakap perkara yang sama mungkin berbeza kesannya tapi kalau setakat satu dua, kita hormat pandangan mereka,” ujarnya.

Jangan terhantuk baru terngadah, buatlah pilihan yang bijak.-15 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.