NEW Sunday Times beberapa hari lalu menyiarkan lima muka surat khas wawancara dengan taiko DAP, Lim Kit Siang.

Antara yang menarik ialah kenyataan beliau yang menafikan bahawa DAP merupakan ancaman kepada Melayu Islam.

Namun menurut Roslan Shahir Mohd Shahir, Timbalan Pengerusi III Lajnah Penerangan PAS, LKS boleh menafikannya, tetapi hakikatnya berbeza.

Rakyat Malaysia tahu kerajaan PH hari ini tertegak atas sokongan lebih 90 peratus pengundi bukan Melayu dalam PRU lalu. Cuma sekitar 25 peratus sahaja pengundi Melayu yang menyokong PH selebihnya terpecah antara PAS dan BN (Umno).

Pengundi bukan Melayu berdiri teguh di belakang DAP kerana percayakan perjuangan mereka.

Malah di empat buah negeri di Semenanjung DAP punya perwakilan majoriti dalam Dewan Negeri iaitu Pulau Pinang (51 peratus), Perak (60 peratus), Negeri Sembilan (55 peratus) dan Melaka (53 peratus).

Ini bermakna DAP adalah tulang belakang dan kekuatan PH. Tanpa mereka tiada kerajaan PH di Putrajaya dan negeri-negeri berkaitan.

“Kerana itulah kita katakan DAP berpengaruh manakala wakil Melayu lain dalam PH termasuk PM akan selamanya akur dan tunduk pada mereka lantaran kuatnya suara dan perwakilan mereka,” kata Roslan.

Dalam kerajaan mereka kini duduk di jawatan dan portfolio strategik dan secara kolektif tentunya berupaya menetukan dasar dan halatuju negaraserta mendesak kerajaan kerana nyawa PH ditangan mereka.

Di sinilah ancamannya.

Menurut Roslan, DAP berjuang untuk pertahankan Perlembagaan Persekutuan yang sekular. Ini bermakna segala tafsiran kepada Perlembagaan jangan lagi terpengaruh dengan elemen agama. Kerana sekularisma memisahkan agama dari pentadbiran.

Tidakkah itu satu ancaman buat Islam?

DAP juga berjuang mahu wujudkan sebuah Malaysia yang menganuti gagasan “Malaysian Malaysia”.

Roslan mengambil contoh bagaimana gagasan itu “menghilangkan” orang Melayu Singapura.

Di Singapura semua kaum dan agama seiring dan setaraf. Walau perjanjian kontrak sosial atas fakror sejarah memberi beberapa hak dan keistimewaan buat orang Melayu dan Bumiputera, ia mahu dihapuskan DAP kerana pada mereka ia satu bentuk diskriminasi.

Kalau demikian halnya tidakkah ia mengancam kedudukan dan status orang-orang Melayu?

Lihatlah nasib orang-orang Melayu di Singapura akibat pengamalan meritokrasi.

Selagi dua perkara sekular dan Malaysian Malaysia terus didukung DAP, selagi itulah kehadiran mereka dalam kerajaan satu ancaman buat kita semua.

Rakyat Malaysia khususnya Melayu Islam dapat melihat isu ICERD dan Statut Rom dulu. Juga dalam isu pengiktirafan UEC selain bantuan kerajaan untuk Sekolah Persendirian Cina.

Yang terkini, pembelaan bersungguh-sungguh DAP terhadap Wan Ji yang menghina Sultan Selangor.

Maka wajarlah orang Melayu Islam membuka mata mereka akan lakonan DAP ini. – 15 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.