SEJAK Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada tahun 2003, kedua-dua penggantinya dipilih oleh beliau.

Ironinya, kedua-duanya, Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak dijatuhkan kembali oleh beliau.

Bagi penganalisis politik, Timmy Say tindakan Tun Mahathir itu kerana kesemua penggantinya gagal memastikan Wawasan 2020 tercapai seperti dirancang.

Wawasan 2020 ialah satu sasaran bahawa Malaysia akan mencapai tahap negara perindustrian yang maju bukan saja dalam bidang ekonomi, tetapi semua bidang lain termasuk sosial, kerohanian dan kualiti hidup rakyat.

Namun, pentadbiran Pak Lah mula menjadi kontroversi ekoran cerita yang menyelubungi menantunya, Khairy Jamaluddin dan Tingkat 4 Putrajaya.

Barangkali menyedari aspirasi Wawasan 2020 tergugat di bawah Pak Lah, Mahathir bertindak menyerangnya sehingga Barisan Nasional hilang 2/3 majoriti di Parlimen yang memaksa Pak Lah berundur.

Kemudian, Najib Razak pula dipilih menjadi Perdana Menteri dan Mahathir merestuinya.

Malangnya, menurut Timmy konsep Wawasan 2020 ini semakin pudar di bawah Najib yang sibuk mempopularkan konsep 1Malaysia. Bahkan boleh dikatakan rakyat Malaysia dibuai konsep 1Malaysia dan skandal 1MDB sehingga terlupa Wawasan 2020.

Mahathir melancarkan serangan terhadap Najib bersenjatakan isu 1MDB ciptaan Najib sendiri sehinggalah beliau tumbang.

Mahathir kembali ke tampuk kuasa dan menetapkan sasaran baru iaitu Wawasan 2025.

Sempena hari jadi ke-94 beliau minggu lalu, Mahathir menyuarakan hasrat untuk terus berkhidmat demi memulihkan negara, dan tentunya mahu melihat Wawasan 2015 tercapai.

Bagi Timmy, sepanjang 24 tahun Mahathir mentadbir, hanya satu kelemahan beliau yang paling ketara, iaitu memilih penggantinya.

Kali ini, Mahathir tidak boleh mengulangi kesilapan dalam melantik penggantinya.

Hal ini kerana usianya yang sudah lanjut akan menyebabkan beliau tidak mempunyai masa untuk memperbaiki keadaan sekiranya tersilap memilih pengganti.

Oleh itu, Timmy berpendapat untuk kali ini dipohon beri peluang kepada rakyat Malaysia untuk menentukan siapa Perdana Menteri seterusnya selepas beliau bersara dan bukannya Mahathir ataupun PH.

Timmy juga berharap semoga Mahathir diberikan kesihatan untuk terus berkhidmat sehingga bersara.

Dengan ini, Mahathir tidak perlu rasa bersalah kepada rakyat jika penggantinya tidak seperti diharapkan kerana ini adalah pilihan rakyat sendiri, tidak seperti Pak Lah dan Najib.

Dalam perkembangan lain, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris mengatakan Mahathir tidak perlu dipaksa melepaskan jawatannya.

Razali mahu Mahathir terus kekal sehingga PRU15.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut berpendapat bahawa Tun Mahathir perlu dikekalkan sehingga PRU akan datang. – 15 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.