JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan bahawa RM19.4 bilion daripada hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak hilang.

Kenyataan ini sekaligus menafikan dakwaan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat Pada Ogos tahun lalu yang menyatakan tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ kerajaan terdahulu.

Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata dana itu dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Ini berdasarkan keterangan 10 saksi prosiding berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik GST mendapati hasil cukai itu tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST.

Katanya, Seksyen 54(2) Akta GST 2014 dan Surat Ikatan Amanah Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST menetapkan semua kutipan GST perlu diakaunkan terlebih dahulu dalam Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST.

Noraini berkata, kerajaan sebelum ini didapati terlebih anggar hasil GST bersih yang dikutip pada kadar 65 peratus daripada jumlah kutipan hasil GST.

Penangguhan pemindahan dana daripada Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara.

“Ia bagi memastikan aliran tunai negara tidak berada dalam keadaan defisit pengurusan yang mana perbelanjaan mengurus tidak boleh melebihi hasil.”

“Kerajaan telah mengumumkan akan membuat pembayaran balik cukai GST tahun ini dengan menggunakan sebahagian daripada dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion,” katanya

Laporan PAC ini berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik GST berjumlah RM19.4 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Kementerian Kewangan.

Prosiding tuntutan tunggakan bayaran balik GST itu dimulakan pada 12 September tahun lalu.

Antara yang dipanggil PAC dalam isu itu termasuklah Menteri Kewangan, bekas Menteri Kewangan, bekas Menteri Kewangan II, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Kastam dan Akauntan Negara.

PAC turut mendapat taklimat Ketua Audit Negara berhubung kesahihan tuntutan tunggakan bayaran balik GST, selain mendapat pandangan Peguam Negara mengenai prosedur bayaran balik GST.

Menurut Noraini, dasar memindahkan 35 peratus daripada jumlah kutipan hasil GST bagi setiap tahun dari Kumpulan Wang Disatukan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST apabila diperlukan adalah tidak mencukupi untuk menampung permohonan pembayaran balik GST.

“Berdasarkan keterangan ketika prosiding, PAC mendapati kadar penetapan dasar wajar adalah sekurang-kurangnya 42 peratus,” katanya.

Justeru, katanya, PAC mengesyorkan kerajaan memastikan pematuhan penuh undang-undang dalam pelaksanaan tatacara kewangan supaya sistem pentadbiran kewangan lebih teratur dan berakauntabiliti.

Selama ini, kerajaan DAP-PH menjadikan isu ini sebagai salah satu poin menyalahkan kerajaan terdahulu.

Pengumuman ini menjelaskan kedudukan sebenar, apa sebenarnya yang berlaku. – 15 Julai 2019

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.