KETUA Pembangkang Ismail Sabri Yaakob memulakan usul untuk merujuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, lapor media tempatan.

Ia susulan laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) yang mendapati bayaran balik GST yang didakwa Guan Eng ‘dirompak’ pentadbiran BN, sebenarnya tidak hilang.

“Laporan PAC (yang dibentang di Dewan Rakyat) hari ini (menunjukkan) tidak ada kehilangan wang atau wang dirompak (seperti didakwa) seperti didakwa menteri.

“Dengan itu saya memohon untuk merujuk Peraturan Mesyuarat 36(12) untuk merujuk menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” kata Ismail Sabri.

Ismail Sabri berkata kes ini perlu dibahaskan segera, kerana ia perkara serius yang melibatkan integriti pentadbiran lalu.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming kemudian meminta Ismail Sabri menyatakan sebab untuk berbuat demikian secara bertulis.

“Saya beri jaminan keputusan akan dibuat mengikut lunas undang-undang dan peraturan mesyuarat,” kata Nga kemudian.

“Jika peraturan mesyuarat menghendaki keputusan dibuat sidang kali ini, maka ia akan dibuat (begitu),” katanya lagi. – NTHQiBord, 15 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.