PAGI ini Datuk Seri Nazri Aziz membuat kenyataan media menuntut supaya Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Walaupun hari ini kita ada bola tanggung untuk tegur Pakatan Harapan (PH) apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng didapati menipu berkenaan duit GST oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam di Parlimen, Nazri diam dan tidak pula buat kenyataan media berkenaan hal ini namun masih sibuk hendak tembak rakan sendiri dalam parti.

Apabila ditanya berkenaan pendirian politiknya yang berubah-ubah dan berkenaan kerjasama UMNO-PAS, Nazri mengaku dulu dia buat silap menentang penyatuan UMNO-PAS.

Tapi kini dia kata dia sokong penyatuan UMNO-PAS pula.

Khairu Jamaluddin atau KJ pun telah membuat U-turn berkenaan hal ini sama macam Nazri.

Ini selepas gerakan yang mereka tentang dulu kini mendapat sokongan akar umbi dan membuahkan hasil.

Dahulu sebelum PRU-14 Nazri pernah maki hamun Tun Mahathir Mohamad dan ajak berdebat.

Tetapi selepas PH menang pilihanraya dan Tun Mahathir jadi PM ke-7, dia (Nazri) umum sokong Tun Mahathir pula.

Dan apabila selepas itu apabila Anwar pula umum untuk kembali menjadi ahli parlimen dan bertanding di pilihanraya kecil Port Dickson dan berura-ura untuk menjadi Perdana Menteri ke-8, Nazri umum sokong Anwar pula dan dia kata dia akan bantu kempen Anwar dan PH di Port Dickson.

Dan dahulu sebelum PRU-14, Nazri lantang sokong Najib dan tuntut supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin letak jawatan sebab tidak setia kepada Presiden dan Perdana Menteri.

Tapi selepas BN kalah pilihan raya dan Najib bukan lagi Perdana Menteri, dia U-turn lagi dan lanyak Najib pula.

Dan apabila Presiden UMNO Datuk Seri Ahmas Zahid Hamidi beri Najib jawatan sebagai penasihat BN, itupun Nazri tidak setuju dan naik angin pula.

Kalau satu hari nanti ditakdirkan Allah SWT, Najib jadi Perdana Menteri semula, saya tidak terkejut jika Nazri dan KJ akan U-turn lagi dan tiba-tiba sokong dan lambung Najib lagi seperti dulu.

Mungkin pada ketika itu dia akan kata lagi yang dulu dia buat silap juga bila dia balun Najib.

Orang seperti ini akan kata apa sahaja untuk cari nyawa atau cari makan.

Kita perlukan orang yang boleh buat ‘turn-around’ dalam parti, bukan orang yang selalu buat ‘U-turn’ untuk kepentingan diri.

Setakat ini, Bossku Najib banyak buat turn-around.

Kalau dulu anak muda tidak sokong BN, kini anak muda kembali menyokong BN, walaupun Nazri kata kempen Bossku itu “untuk budak-budak”.

Saya sebenarnya malas hendak komen berkenaan hal dalaman parti. Sesiapa yang kenal saya dan selalu membaca penulisan-penulisan saya sebelum ini tentunya tahu akan hal ini.

Saya mahu fokus kepada menyemak-imbang kerajaan PH.

Kita tidak perlu membuka masalah dalaman kita kepada umum dengan membuat kenyataan-kenyataan awam yang tidak perlu dan mengguris hati rakan separti.

Jika ada masalah dan perselisihan pendapat, bawa berbincang dalam parti bukannya buat kenyataan media yang negatif terhadap rakan.

Apabila kita membuat suatu kenyataan media yang negatif terhadap seseorang, ia akan memaksa orang itu untuk menjawab dengan kenyataan umum juga.

Akhirnya pekong kita semua akan terbuka.

Oleh itu saranan saya ialah hentikan kritikan umum tentang masalah dalaman parti di media. Bawa bincang di saluran dalaman yang betul.

Saya harap Nazri dan KJ terima teguran dan pandangan saya ini walaupun saya tidak ada apa-apa jawatan dalam parti dan bukanlah ahli Parlimen namun hanyalah seorang ahli marhaen UMNO di akar umbi.

Sebab setiap kali pilihan raya orang-orang marhaen di akar umbi macam sayalah yang telah menaikkan kamu dan bertungkus lumus untuk memenangkan wakil rakyat macam kamu.

Oleh itu janganlah buat akar umbi pening dan penat dengan perangai kamu-kamu di atas sana. – 15 Julai 2019.

ISHAM JALIL,
Penganalisis politik.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

 

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.