DATUK Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa tidak menunggu lama untuk membalas kritikan Siti Kasim berhubung isu arak tanpa alkohol.

Menteri Hal Ehwal Agama itu berkata beliau mempunyai tanggungjawab mempertahankan dan menjaga umat Islam di negara ini supaya tidak keliru dalam isu tersebut

Beliau berkata, pandangan lain berhubung isu itu adalah hak mereka, termasuk peguam Siti Kasim yang mendakwa menteri itu keliru mengenai isu halal dan haram.

“Isunya di Malaysia, orang Islam tanya, saya jawablah tidak boleh. Buat apa kita nak pening, itu saja saya kata.

“Saya tidak boleh kata mengenai isu orang bukan Islam kerana tidak ada kuasa untuk melarang.

“Jadi, kalau dia (Siti) nak hujah mengenai Madinah atau Makkah, itu masalah dia kerana saya hanya bertanggungjawab terhadap orang Islam di Malaysia,” katanya.

Semalam, Mujahid menggesa syarikat pengeluar minuman keras agar tidak mengelirukan umat Islam dengan mengeluarkan produk dan minuman arak tanpa alkohol.

Namun gesaanya itu mengundang rasa kurang senang Siti yang meminta Mujahid agar tidak menghina umat Islam dengan mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai isu arak tanpa alkohol.

Menurut peguam itu, kenyataan Mujahid menyebabkan umat Islam keliru berhubung aspek halal dan haram, selain turut mendakwa bir tanpa alkohol ada dijual di Mekah sejak 1980-an.

Namun Mujahid berkata, isu yang dibangkitkannya membabitkan arak tanpa alkohol di Malaysia dan bukan di tempat lain.

“Apa dia (Siti) nak fikir, itu masalah dia. Saya hanya mahu menjaga umat Islam di Malaysia supaya tidak keliru, itu sahaja.

“Dia fikir saya nak mengharamkan orang, ikut dia. Apa yang dia nak fikir, saya tidak boleh kawal,” katanya. – 15 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.