DATUK Seri Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin sepatutnya menumpukan perhatian untuk ‘menyerang’ Pakatan Harapan, bukannya kepimpinan UMNO, kata Zamil Ibrahim.

Timbalan Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia itu berkata, kritikan terhadap pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai penasihat Barisan Nasional (BN) adalah mengecewakan majoriti akar umbi UMNO.

Tegasnya, Nazri dan Khairy tidak salah untuk mengkritik tetapi adalah lebih baik jika kuasa kritikan itu ditujukan kepada kegagalan kerajaan Pakatan Harapan.

“Rakyat sedang menderita dan mereka menyedari bahawa BN di bawah Najib lebih baik daripada PH.

“Banyak isu yang boleh mereka (Nazri dan Khairy) serang tetapi mereka tidak berbuat demikian.

“Jadi nasihat saya buat mereka, cukup-cukuplah,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord baru-baru ini.

Beliau mengulas mengenai kritikan Nazri dan Khairy terhadap pelantikan Najib sebagai penasihat BN yang disifatkan sebagai bakal punca kekalahan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, kritikan itu bukanlah bersifat untuk mengukuhkan UMNO tetapi lebih kepada perasaan iri hati.

“Saya terkejut dua orang Ahli Parlimen ini jadi lidah lidah DAP dan kuncu-kuncunya.

“Saya minta jika mereka bijak dan pandai untuk kukuhkan umno, inilah masa yang sesuai serang DAP dan kuncu-kuncunya kerana rakyat tak sabar nak tunggu pilihan raya untuk menghukum Pakatan Harapan,” katanya.

Siapa pencetus kerjasama PAS-UMNO?

Mengulas lanjut, Zamil berkata, Nazri dan Khairy adalah antara pemimpin UMNO yang membantah kerjasama UMNO dan PAS selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Tapi katanya, nada kedua-dua Ahli Parlimen itu berubah apabila melihatkan kejayaan kerjasama antara kedua-dua parti Melayu dan Islam itu.

“Saya nak ingatkan mereka berdua bahawa pencetus kerjasama ini adalah Najib sendiri.

“Antara pemimpin lain yang terlibat adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Jadi saya terkejut apabila Nazri dan Khairy tuduh Najib mahu ambil kesempatan atas kejayaan penyatuan ummah ini,” tegas Zamil yang juga merupakan ahli UMNO.

Kalau Nazri, KJ anak jantan…

Mengulas mengenai cabaran Nazri agar UMNO memecatnya, Zamil berkata, Ahli Parlimen Padang Rengas itu tidak perlu untuk tindakan parti.

“Kalau Nazri anak jantan, keluarlah dari BN,” katanya.

Mengenai kritikan Khairy bahawa BN tidak akan menang PRU15 sebab Najib, Zamil berkata kenyataan Ahli Parlimen Rembau itu menunjukkan beliau tiada keyakinan terhadap BN.

“Kalau KJ (Khairy) rasa BN takkan menang sebab najib, saya nasihatkan beliau jangan bertanding atas tiket BN.

“Dah tau kalah, kenapa nak jadi calon BN?” soalnya.

Zamil turut menasihatkan Khairy agar akur dengan kekalahan pada pemilihan Presiden UMNO yang lalu dan menerima kenyataan itu adalah keputusan parti, bukan individu.

“Kalau mahu corakkan UMNO, perlu ada jawatan tertinggi dalam BN atau UMNO.

“Takkan orang yang kalah dalam pemilihan nak ajar presiden. Itu memang pelik dan janggal,” katanya. – NTHQibord, 15 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.