BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil mengawal semua ‘pergerakan’ akaun Datuk Seri Najib Razak di AmBank termasuk urusan kad kredit bekas perdana menteri itu.

Berdasarkan dokumen yang dilihat oleh NTHQiBord, Nik Faisal ‘menjual’ nama Najib untuk mendapatkan akses semua penyata kewangan dan komunikasi dua akaun kredit kad Najib yang berakhir dengan nombor 496 dan 961 dan satu akaun semasa dengan nombor akhir 694.

Dokumen itu merupakan dua surat yang ditulis oleh Nik Faisal sendiri kepada Jabatan Perkhidmatan Kad AmBank beralamat di Menara AmBank, Jalan Yap Kwan Seng dan Cawangan AmBank Islamic Berhad di Jalan Raja Chulan, bertarikh 2 Ogos 2013 dan 20 Ogos 2013.

Dalam surat pertama, Nik Faisal mendakwa beliau diberi mandat oleh Najib untuk mengendalikan akaun tersebut termasuk semua penyata kewangan dan komunikasi berhubung kad kredit itu.

Malah Nik Faisal mengarahkan Pengurus Perhubungan AmBank, Joana Yu atau Daniel Lee yang beribu pejabat di Bangunan AmBank Group di Jalan Raja Chulan, agar menyerahkan semua dokumen yang diminta kepadanya.

Dalam surat kedua juga, Nik Faisal menulis kepada Pengurus Cawangan AmBank Islamic Berhad di Jalan Raja Chulan untuk meminta semua penyata kewangan bulanan tiga akaun tersebut kepadanya.

Dalam perbicaraan penyelewengan dana SRC International hari ini, Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong, 58, memberi keterangan berhubung transaksi akaun kad kredit Najib bertarikh antara Ogos 2014 dan Ogos 2015.

Kesemua perbelanjaan itu adalah selepas Nik Faisal memperoleh akses untuk mendapatkan penyata kewangan dan komunikasi daripada kad kredit Najib.

Menurut Eng Leong kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dua kad kredit milik Najib dibelanjakan sehingga RM3.3 juta dalam masa sehari.

Saksi ke-47 pendakwaan itu berkata sejumlah RM456,360.51 telah dibelanjakan menggunakan kad kredit Visa Platinum dan RM2,864,309.54 menggunakan kad kredit Master Platinum.

Saksi itu berkata perbelanjaan berkenaan berlaku pada 8 Ogos, 2014.

Ketika disoal balas peguam bela Harvinderjit Singh, saksi pendakwaan itu setuju bahawa berdasarkan penyata kad kredit pada April 2015, bayaran terakhir dibuat Nik Faisal. – NTHQiBord, 15 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.