SIASATAN kes video songsang semakin menarik apabila polis mendedahkan kemungkinan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor terlibat dalam skandal itu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya akan memperluaskan skop siasatan dalam kes penyebaran video seks hubungan sejenis melibatkan bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Kelmarin, Haziq antara enam individu yang ditahan polis untuk siasatan kes penyebaran video lucah itu.

“Ya, siasatan kita menjurus ke arah itu dan kami juga turut meneliti bukti dan maklumat lain dalam melengkapkan kertas siasatan kami.

“Selain itu penumpuan siasatan turut dibuat ke arah mengenalpasti pembabitan dalang utama di sebalik semua konspirasi ini,” katanya.

Abdul Hamid juga berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan kes rumit itu.

Beliau berkata, siasatan perlu dilakukan secara berhati-hati disebabkan kes ini membabitkan ahli politik dan tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

“Beri kami ruang dan peluang dalam melengkapkan siasatan selepas pihak pejabat Peguam Negara sudah mengarahkan pihak polis mengemaskini kertas siasatan yang sebelum ini sudah dua kali dihantar.

“Ini kerana siasatan ini perlu dilakukan secara adil dan telus selain memastikan kita tidak mahu orang yang tidak bersalah menjadi mangsa,” katanya. – 16 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.