PAS Pulau Pinang menyifatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencari publisiti murahan apabila mengadakan pertemuan dengan para nelayan dan NGO yang membantah Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) .

Pesuruhjaya PAS negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, hasil pertemuan itu juga tidak menunjukkan Anwar menyatakan pendirian yang jelas berhubung projek kontroversi itu.

Malah katanya, Anwar hanya bersuara mengenai isu ini di media sosial selepas masalah itu disuarakan oleh golongan nelayan yang mengadakan bantahan di Parlimen.

“Anwar dilihat cuba ‘makan keliling’. Publisiti murahan yang cuba diraih Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak membawa sebarang erti andai tidak berani menyanggah sekutu sendiri.

“DAP kini cukup ghairah untuk menjayakan projek tersebut. Malah, Anwar mungkin ‘trauma’ untuk membuat sebarang janji setelah Pakatan Harapan ‘popular’ memungkiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Fauzi turut mempersoalkan perjuangan Anwar sama ada untuk rakyat atau kepentingan kroni.

Ini kerana katanya, di sebalik ‘wayang’ membela golongan nelayan itu, Anwar juga membangkitkan masalah kontraktor kelas menengah dan rendah yang dibawanya kepada Perdana Menteri.

“Lebih nampak lakonan itu apabila menyeru nelayan untuk menolak pampasan yang ditawarkan.

“Apakah kepuraan dan pemerdayaan sedang direncanakan ini?” soalnya.

Fauzi juga mendedahkan bahawa tiada seorang Ahli Parlimen dan ADUN dari Pakatan Harapan dan PKR yang menyuarakan kepentingan penduduk untuk membantah projek itu.

Malah katanya, ‘lakonan’ Anwar ibarat menampar pemimpin kerajaan negeri, khasnya Afif Bahardin dari PKR yang sebelum ini mendakwa 50 peratus nelayan bersetuju dengan PSR.

“Walhal, merujuk laporan Kesan Impak Persekitaran (EIA) hanya 17 nelayan bersetuju projek 4,500 ekar tersebut.

“.Apakah sebenarnya pendirian PKR dalam isu ini? Jangan hanya kerana isu sedang mendapat liputan media, Datuk (Anwar) pun menyelit berlagak hero,” sindirnya. – 16 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.