LEBIH baik jadi ‘gila’ daripada jadi penipu.

Itu jawapan yang diberikan bekas Naib Presiden BERSATU, Datuk Hamidah Osman terhadap kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang menyarankan beliau agar memeriksa kesihatan di Tanjung Rambutan.

Semalam, Tun Mahathir secara sinis menjawab dakwaan Hamidah bahawa Lim Kit Siang adalah individu yang mencadangkan penubuhan parti BERSATU kepada Perdana Menteri itu.

“Orang yang kata itu saya ingat perlu dihantar ke Tanjung Rambutan untuk diperiksa,” katanya merujuk kepada pusat pemeriksaan untuk orang gila di Perak itu.

Namun hari ini, Hamidah menjelaskan bahawa beliau tidak sanggup berbohong kepada rakyat dan menganiaya bangsa untuk kepentingan sendiri.

Katanya, beliau tidak mahu di hadapan rakyat cakap lain dan di belakang rakyat cakap lain kerana itu semua akan dijawab di akhirat nanti.

“Saya agak hairan kenapa setelah mengakui (Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan Bersatu) Tun Mahathir mencadangkan supaya saya dan Datuk Seri Najib masuk Tanjung Rambutan?

“Namun saya berpendapat biarlah masuk Tanjung Rambutan daripada saya masuk ke neraka kerana berbohong kepada bangsa, agama dan negara,” katanya.

Hamidah juga secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Mahathir kerana akhirnya mengakui bahawa sememangnya Kit Siang ada mencadangkan penubuhan satu lagi parti melayu untuk menarik 10 peratus undi UMNO.

“Nampaknya bukan Melayu yang mudah lupa tetapi Kit Siang yang sudah lupa,” katanya. – 16 Julai 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.