GAMBAR pembantu rumah yang mendakwa dirogol Exco DAP Perak, Paul Yong baru-baru ini tersebar di media sosial.

Keterangan gambar itu memaklumkan, pihak Kedutaan Indonesia sendiri yang menyiarkan gambar pembantu rumah berusia 23 tahun itu.

Pengadu kini ditempatkan di rumah perlindungan di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur sambil menunggu siasatan polis berhubung kes itu.

Difahamkan, mangsa masih lagi trauma dengan kejadian itu dan pakar psikologi juga disediakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan emosi.

Berdasarkan perbincangan antara pihak kedutaan dan polis, mangsa akan berada di negara ini sehingga kes tersebut selesai.

Dalam perkembangan sama, polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes rogol itu untuk dikaji dan disemak.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya hanya menunggu laporan daripada forensik dan perubatan bagi melengkapkan siasatan.

“Kertas siasatan sudah pun dihantar ke Pengarah Pendakwaan negeri untuk disemak dan dikaji. Ada dua tiga perkara yang perlu kita peroleh terutama laporan doktor dan forensik.

“Kita masih lagi menunggu kedua-dua laporan tersebut dan kita dijangka dalam masa terdekat dua tiga minggu untuk dapatkan laporan ini,” katanya menurut laporan Sinar Online. – 16 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.