MINGGU lepas, nelayan Pulau Pinang dan Perak berdemo secara aman bagi mendesak kerajaan menghentikan projek tambak laut di Pulau Mutiara itu.

Hari ini, giliran nelayan dari Pantai Timur pula mengadakan tunjuk perasaan di depan Parlimen untu membantah bot tunda berlesen tempatan yang diusahakan oleh nelayan asing di perairan negara.

Tunjuk perasaan itu disertai lebih 300 nelayan yang membawa sepanduk bertulis “Mohon SPRM siasat perikanan”, “Nelayan Pantai Timur- akibat Vietnam- kami menderita”, “Kami nelayan pantai timur merayu kepada kerajaan pusat hapuskanlah lesen Ali Baba”, dan lain-lain.

Mereka turut menghantar memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dalam memoreandum itu, mereka meluahkan ketidakpuasan hati terhadap operasi bot laut dalam zon C dan C2 terutama melibatkan bot yang diperolehi daripada pembelian secara terpakai luar negara terutama dari Vietnam yang diluluskan kerajaan.

Memorandum itu turut memberitahu situasi itu menyebabkan pendapatan nelayan tradisi tempatan terjejas kerana kemasukan bot-bot laut dalam terpakai tersebut bertindak rakus beroperasi menangkap ikan sehingga kawasan tepi pantai.

Menurut wakil nelayan Kelantan, Nik Mohd Kamal Husin, demonstrasi itu semata-mata bagi meminta perhatian kerajaan atas masalah yang membelenggu nelayan Pantai Timur.

“Kami datang sekadar meminta kerajaan mengambil berat atas luahan kami yang mana keadaan laut kami semakin terancam oleh nelayan asing dan nelayan asing berdaftar terutama khas ditujukan kepada nelayan Vietnam.

“Nelayan-nelayan Vietnam ini pekerjaannya terlampau teruk sehingga menjahanamkan semua ekosistem lautan kita dan mungkin akan merosakkan sistem akuakultur hingga anak cucu kita di depan hari mungkin tak dapat mencari rezeki lagi di lautan.

“Semenjak kerajaan beri permit untuk menggunakan kru Vietnam, boleh dikatakan zon pantai timur semakin teruk terancam oleh mereka,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.