DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menuntut Lim Guan Eng untuk memohon maaf secara terbuka di Dewan Rakyat kerana menipu dalam isu bayaran balik wang GST.

Ketua DPPM, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, dakwaan Guan Eng bahawa wang GST itu dirompak oleh Barisan Nasional adalah tidak wajar dan menjadi kesalahan besar dalam Dewan Rakyat.

Jelas Khairil, Menteri Kewangan sudah beberapa kali cuba mengelirukan Dewan Rakyat dan perbuatannya itu perlu ditangani dengan serius.

“Kenyataan beliau (Guan Eng) merendahkan Dewan Rakyat, memberikan persepsi buruk terhadap Malaysia dan lebih malang lagi menjejaskan keyakinan pelabur sehingga menjatuhkan pencapaian ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

“Ini membuktikan beliau tidak kompeten dalam menjalankan tugasan tersebut,”

“Justeru, Menteri Kewangan dituntut memohon maaf secara terbuka di dalam Dewan Rakyat atas kenyataan tersebut atau meletakkan jawatan,” kata Khairil dalam satu kenyataan.

Pada Ogos tahun lalu, Guan Eng mendakwa kerajaan BN merompak wang bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion dan perkara itu kemudiannya disiasat oleh PAC.

Bagaimanapun laporan PAC mengesahkan wang sebanyak RM19.4 bilion hasil kutipan cukai GST itu tidak hilang atau dirompak seperti didakwa Guan Eng.

Mengulas lanjut, Khairil menyatakan rasa terima kasih atas semak dan imbang Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap isu ‘kecurian’ wang bayaran balik GST.

Beliau juga mencadangkan agar satu siasatan khas dilaksanakan bagi memastikan sama ada wang pulangan balik GST yang dikonsolidasi dalam wang yang disatukan itu menyalahi undang-undang atau ia disebabkan kelemahan perundangan yang dimanipulasi.

“Jika ia menyalahi undang-undang, ia bermaksud kerajaan terdahulu menyalahi etika ‘good governance’ dan tindakan yang tegas perlu diambil untuk mengelak manipulasi ini berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya. – 16 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.